Selamat Datang ke Blog Rasmi AGC

Blog Rasmi Jabatan Peguam Negara (AGC) diwujudkan selaras dengan arahan Kerajaan dalam memperbanyakkan sumber komunikasi di antara Kementerian/Jabatan dengan rakyat.

PROSES PEMBANGUNAN PERISIAN SISTEM

Number of View: 935

Proses Pembangunan Perisian Sistem atau System Software Development Process sudah menjadi sesuatu yang lumrah dalam organisasi pada waktu ini. Organisasi akan menggunakan perisian sebagai pemboleh daya (enabler) kepada sistem kerja bagi memastikan tugas atau bisnes teras mereka dapat dijalankan.

Kerap kali kita keliru dengan perkataan sistem apabila meletakkan semua sistem itu dalam bentuk berkomputer tetapi sistem juga merupakan satu aturan kerja/kaedah dalam melakukan sesuatu tanpa penggunaan tool atau alatan seperti komputer. Pun begitu, bagi sistem berkomputer ia merupakan proses memastikan aturan kerja atau sistem bekerja bisnes dibantu menggunakan teknologi. Sistem komputer ini dibangunkan dan menggunakan perisian atau software yang pada akhirnya akan berinteraksi dengan pengguna supaya kerja dapat dilakukan dengan bersistematik dan mengikut aturan/sistem bisnes sesebuah organisasi.

Bagi membangunkan perisian untuk sesebuah sistem, terdapat pelbagai kaedah/metodologi yang digunakan. Antara yang popular ialah kaedah Air terjun (Waterfall), Pilin (Spiral), Pembangunan Aplikasi Rapid (Rapid Application Development), Agile dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, artikel akan menyentuh berkenaan kaedah yang sangat kerap digunakan dikebanyakan projek pembangunan perisian iaitu Waterfall. Metodologi ini mengandungi enam (6) fasa yang berjujuk. Maksudnya proses bagi pembangunan perisian menggunakan konsep ini perlu melalui setiap fasa secara berturut-turut. Fasa tersebut ialah:

a) Kajian Keperluan Sistem dan Perisian

Semasa proses kajian keperluan ini, pengguna akan dilibatkan untuk mendapatkan kehendak dan keinginan mereka terhadap perisian yang akan dibangunkan. Fasa ini merupakan peringkat paling kritikal kerana ia akan menentukan keseluruhan proses dan hasil (output) perisian yang akan diserahkan kepada pengguna.

Bagi sesetengah organisasi, untuk mendapatkan keperluan ini perlu melibatkan tadbir urus yang sangat ketat. Sebelum pengguna menginginkan sesebuah perisian, permohonan mestilah dibuat kepada pengurusan atasan dan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) sebelum kajian dapat dilaksanakan.

Sekiranya dipersetujui, proses kajian akan dimulakan oleh pasukan pembangun (ICT Personel). Hasil kajian tersebut pula perlu dipulangkan kepada pengguna untuk diluluskan oleh pengurusan atasan pengguna sebelum pihak pembangun meneruskan proses seterusnya dalam Fasa Analisis.

b) Analisis: Melihat kepada model, peraturan bisnes dan skema data

Fasa ini kebiasaannya merupakan fasa bagi pembangun perisian membincangkan keperluan yang telah dimuktamadkan oleh pengguna dan telah ditentukan aliran kerjanya, penyesuaian dengan data yang diperlukan serta memastikan setiap kehendak pengguna diambil kira.

c) Reka bentuk: Merujuk kepada seni bina perisian

Di dalam Fasa Reka Bentuk, tindakan yang diambil selalunya akan melibatkan rupa bentuk perisian tersebut. Ia juga akan melihat kepada struktur perisian tersebut dan berfungsi yang akan disediakan.

Proses menyediakan contoh antara muka pengguna juga berlaku dalam fasa ini dan adakalanya dalam bentuk kertas cadangan atau pun prototyping. Walau bagaimanapun, bagi projek yang perlu penyerahan segera, kaedah protoptyping tidak digunakan kerana mengambil masa yang lama. Bagi ketiga-tiga fasa ini iaitu kajian keperluan, analisis dan reka bentuk akan melibatkan juru analisis sistem (atau system analyst) yang selalunya dalam kalangan Pegawai Teknologi Maklumat.

d) Pengekodan: Melaksanakan pembangunan, membuat kod, pengesahan dan pengintegrasian.

Pengekodan ialah proses yang mana programmer akan membuat kod sumber (source code) mengikut reka bentuk yang telah diterjemahkan daripada analisis keperluan dan diperolehi daripada pengguna. Proses pengekodan ini bergantung kepada skil yang ada pada programmer atau Penolong Pegawai Teknologi Maklumat dan juga perlu dilihat kepada teknologi yang digunakan.

e) Pengujian: Kaedah mencari kesilapan, pepijat dan kecacatan secara bersistematik

Pengujian atau testing merupakan fasa yang paling kritikal kerana ia menentukan sama ada keperluan pengguna berdasarkan analisis dan reka bentuk tersebut adalah tercapai. Proses ini merupakan proses pengesahan kualiti dan semua yang dirancang mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Proses ini mungkin berulang sehingga pengguna telah berpuas hati.

f) Operasi: pemasangan, migrasi, sokongan dan penyelenggaraan bagi perisian sistem yang telah lengkap.

Proses ini merupakan proses terakhir di mana perisian sistem akan dipasang untuk kegunaan pengguna. Selepas pengguna menggunakan aplikasi ini, ia akan diselenggara dari semasa ke semasa bagi memastikan perisian sistem tersebut lancar digunakan.

Walaupun proses penyelenggaran ini nampak mudah, sebenarnya ia memerlukan masa bagi memastikan perkara-perkara teknikal dipatuhi seperti pemeriksaan pangkalan data, perisian sistem seperti Web Server dan Sistem Pengoperasian tidak menyimpan log yang banyak serta perlu juga memastikan fail aplikasi dan penstoran tidak melebihi kapasiti.

Justeru, proses pembangunan perisian ini merupakan proses yang penting bagi sesebuah organisasi yang dibantu ICT tetapi perlu diingat bahawa pembangunannya perlulah teliti bagi memastikan keperluan dapat dilaksanakan oleh pembangun sistem. Bak kata orang, biar lambat asalkan selamat.

Unit Perancangan dan Pembangunan Sistem
Seksyen Teknologi Maklumat, Bahagian Pengurusan

KEHILANGAN

Number of View: 1354

KEHILANGAN

Sayu ini lama rasanya

Bersarang dihati

Meratapi kehilanganmu Ibu

Pedih ini lama hilang nyerinya

Menusuk dadaku

Menangisi kehilanganmu Ibu

Padamu Ibu

Kukirimkan doa setulus hati

Moga menjadi lantera di tempat semadimu

Moga memberi nur di perbaringanmu

Kehilanganmu Ibu

Hanya pada pandang mata

Namun dihati

Kau tetap bersamaku

Sehingga ke akhirnya

Hidup ini

Oleh;

Anita Hashim

Bahagian Penyelidikan

17 November 2016

Hibah

Number of View: 3979

Pengenalan

1.    Hibah merupakan suatu kaedah pemilikan harta secara sah di sisi hukum Syarak. Dari segi bahasa, hibah bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk ain atau manfaat, manakala menurut Syarak pula, hibah bermaksud suatu akad pemberian harta yang dilakukan oleh seseorang secara sukarela kepada seseorang yang lain ketika tempoh hidupnya tanpa sebarang balasan(‘iwad).

Hukum

2.    Hukum pelaksanaan hibah adalah sunat dan digalakkan di dalam Islam. Ini adalah berdasarkan dalil-dalil seperti yang berikut:

(i)    Al-Quran:

(a)    Surah Ali Imran ayat 92:

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.”.

(b)    Surah al-Baqarah ayat 177:

“…dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya kepada kaum kerabat.”.

(ii)    Hadith:

(a)    Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Saling memberi hadiahlah (hibah) kamu sekalian, agar kalian saling mencintai”. (Hadis Riwayat Bukhari dalam kitab Al-Adab al-Mufrad dan Abu Ya’la dengan sanad hasan).

(b)    Aisyah r.a. menyatakan:

“Rasulullah S.A.W. suka menerima hadiah dan membalasnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Rukun

3.    Rukun-rukun hibah ada empat (4) perkara iaitu pemberi hibah, penerima hibah, sighah ijab dan qabul (penawaran dan persetujuan) dan barang atau harta yang hendak dihibahkan.

Keistimewaan hibah
4.    Keistimewaan pemberian melalui hibah ialah seperti yang berikut:

(i)    pemberian hibah tidak dihadkan kepada sekumpulan orang tertentu. Ia berbeza dengan sistem faraid yang memberikan hak hanya kepada ahli waris-waris tertentu, manakala wasiat mengecualikan waris sebagai penerima wasiat;

(ii)    kadar pemberian hibah adalah tidak terhad kepada jumlah tertentu. Ia berbeza dengan konsep wasiat iaitu harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi sepertiga daripada harta pusaka bersih dan faraid mengikut kadar-kadar tertentu seperti yang diturunkan dalam al-Quran; dan

(iii)    pemberi hibah boleh menentukan sendiri kepada siapa harta dan jumlah hendak diagihkan dengan mengambil kira kesesuaiannya dari segi kedudukan ekonomi dan keperluan semasa waris-warisnya.

Bidang kuasa

5.    Di Malaysia, hibah adalah terletak di bawah bidang kuasa Negeri  berdasarkan Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan butiran 1, Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan iaitu seperti yang berikut:

i)    Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan:

“Hal Perkara undang-undang persekutuan dan Negeri

74. (1) …

(2) Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana Perkara lain, Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri (iaitu Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) atau Senarai Bersama.”.
ii)    butiran 1, Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan:

“Kecuali mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang-orang yang menganut agama Islam termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan … pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat;…; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini,…”.

Berdasarkan peruntukan di atas, perkara berkaitan “alang” adalah termasuk di bawah kuasa Negeri. Sehubungan dengan itu, Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang berhubung dengannya. “Alang” menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka adalah hadiah atau pemberian dan dalam konteks undang-undang Syariah, ia bermaksud hibah.

6.    Kuasa Negeri berhubung perkara tersebut juga turut diiktiraf oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Latifah bte Mat Zin lwn Rosmawati bte Sharibun & Satu Lagi [2007] 5 MLJ 101.

7.    Selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Negeri-Negeri berhubung perkara tersebut, mahkamah Syariah telah diberikan bidang kuasa untuk mendengar kes berkaitan perkara tersebut. Sebagai contoh, di Wilayah Persekutuan, kuasa Mahkamah Syariah berhubung perkara tersebut diperuntukkan di bawah subperenggan 46(2)(b)(v) dan (vi), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] yang memperuntukkan seperti yang berikut:

“Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah

46.  (1) ….

(2) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—

(a)    …;
(b)    dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan dengan—

(v)    wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati Islam;

(vi)    alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seseorang Islam;”.

Seksyen Syariah
Bahagian Penasihat
Jabatan Peguam Negara

Powered by WordPress and WordPress Themes, thanks to Live Jasmin

Videos, Slideshows and Podcasts by Cincopa Wordpress Plugin