MENGAPA KAMU GALAS BEG BERAT ITU?!

Number of View: 4899

Bermula sebagai satu hobi dan berubah menjadi satu “ addiction” saya meneruskan kembara dari satu negara ke negara yang lain. Bermula dengan satu langkah, telah menjadi titik awal untuk saya teruskan perjalanan dan takluki segala daerah yang termampu. Mungkin ada yang merasa hairan mengapa setengah orang memilih untuk melalui kepayahan dan tidak kesenangan. Orang disekeliling mula bertanya “Kenapa kamu  memilih yang susah? Menggalas beg berat dan meniti jalan asing tanpa ada panduan.” Pasti ada yang tertanya-tanya apa menariknya bergelar seorang “backpacker”? Hakikatnya tiada yang menarik jika kesusahan yang jadi pengukur.

Secara jujurnya, dari pandangan kaca mata saya sebagai seorang yang kadangkala memilih untuk menjadi seorang “backpacker”,  tiap daerah yang saya lalui hanya boleh ditemukan rahsia  dan keunikannya budayanya melalui denai -denai kampung, pasar-pasar basah dan hiruk pikuk kota. Semua ini hanya boleh dirasai oleh seorang “ backpacker”  kerana  dia akan makan apa yang penduduknya makan, melalui jalan dimana penduduknya lalui, , naiki kenderaan awam dan  membeli dimana mereka berdagang. Akhirnya selalu, seorang “ backpacker” itu akan menjadi sebahagian dari penduduk negara yang dilawati.

Menurut Wikipedia, ‘bacpacking’ diertikan sebagai perjalanan yang berbiaya rendah. Bermula pada tahun 1970an,  kaum hippie di benua Eropah telah melakukan dan menikmati perjalanan sebegini dalam rangka mencari tuhan dan  jati diri mereka serta melakukan begitu banyak  interaksi selama perjalanan dengan orang-orang disekitarnya. Kadang-kadang perjalanan yang mereka lakukan merentasi benua.

Kerana perjalanan yang jauh, wang menjadi satu hal yang tidak pernah cukup. Dengan kadar penginapan hotel dan pengangkutan yang mahal, telah memaksa “backpacker” untuk mencari jenis pengangkutan dan hotel  paling murah. Mereka yang lebih terarah kepada percutian ala-“backpacker” ini mudah dikesan dengan pola perjalanan yang diatur. Seorang “backpacker” akan senang memilih hotel dan pengangkutan yang murah dan banyak menghabiskan wang untuk hal ini, sekaligus membantu meningkatkan ekonomi penduduk tempatan dengan lebih berkesan. Ini kerana, seorang “backpacker” akan berurusan terus dengan penduduk tempatan. Baik dari segi rumah tumpangan yang murah, pengangkutan awam yang tidak mewah dan membeli barang-barang cuma sekadar di kaki lima. Jarang sekali wang seorang “ backpacker” dihabiskan kepada pembelian barangan mewah di Kompleks membeli belah dan tidak sekali wang dilabur kepada pengusaha-pengusaha hotel lima bintang.  Malah, apabila berada di sesuatu tempat, seseorang “backpacker”  itu senang untuk berinteraksi dengan penduduk setempat, akan selalu mencuba segala hal yang baru, berdikari dan fleksible dalam perjalanannya.

Yang peliknya tentang naluri seorang “backpacker”, ialah apabila diberi pilihan untuk menaiki kapal terbang, dia akan memilih bas atau segala jenis pengangkutan lain yang akan menyusahkan diri. Saya sendiri, pernah mengharung perjalanan selama 35 jam dari Chiang Mai ke Butterwoth dalam gerabak keretapi kelas tiga. Yang pasti seluruh anggota badan merasa sangat sengal dan azab dalam menempuh perjalanan yang hanya bertemankan kerusi kayu.  Kadang bila terfikir mengapa tidak sahaja menaiki kapal terbang yang perjalanannya pasti lebih mudah. Faktor ‘kegilaan’ adalah sebahagian, tetapi seorang “backpacker” jiwanya memang begitu. Mencuba sedaya upaya menyusahkan diri. Entah apa yang cuba dicari?  Hakikatnya kepuasan yang hadir dalam diri mereka hanya boleh difahami oleh mereka yang juga sejiwa.

Uniknya mengenai kesusahan yang dicari ialah, ia adalah satu perjalanan yang luar biasa. Di sepanjang perjalanan seorang “backpacker” dia akan dicabar kemampuannya untuk  terus berfikiran waras dan positif demi untuk tiba ke destinasi. Ketinggalan bas, kehilangan barang-barang, makanan yang sukar ditemukan, duit yang tidak cukup, hotel yang terlalu mahal, jalan-jalan yang sangat asing dan pelbagai kepayahan lain adalah antara permasalahan yang pasti akan dihadapi.

Hebatnya, diatas semua kepayahan ini, seorang “ backpacker” dengan nalurinya akan mencuba dari segala  genap dan segi untuk menemukan keseronokan dan kepuasan. Menyedari yang  lebih penting,  bukanlan destinasi tetapi perjalanan itu sendiri.  Apa yang dapat ‘dikutip’ dan ditemukan disepanjang perjalanan akan  kemudiannya memberikan satu semangat dan kekuatan untuk meneroka bumi tuhan dangan perspektif yang lebih luas dan  dengan cara yang begitu berbeda dari kebiasaan.  Hakikatnya, setiap kepayahan yang ditempuh dan tiap pengalaman yang mungkin tidak masuk akal dalam perjalanan seorang “ backpacker” adalah cerminan  kepada realiti kehidupan.

Kerana dalam menempuh hari-hari biasa di rumah, pejabat atau dimana sahaja akan selalu ada perkara-perkara yang menyusahkan. Yang kadang kala tidak masuk akal, yang mencabar kesabaran dan keimanan. Namun, semua ini adalah satu dugaan. Satu ujian bagi mengajar diri untuk jadi lebih kuat, positif, sabar dan rasional. Sesunggunnya pengalaman ini sangat mendewasakan. Apabila pulang akan mampu merubah pandangan pada kehidupan yang biasa dilalui sebelum ini. Kesusahan yang ditempuh pastinya  akan membuat seorang itu akan lebih mudah bersyukur terhadap perkara yang sebelum ini diabaikan.

Bercakap mengenai pengalaman, saya dan teman-teman pernah ‘merempat’ di Stesyen Keretapi Hua Lamphong, Bangkok apabila ketinggalan keretapi. Bertambah malang apabila seorang teman, kehilangan beg besarnya yang memaksa dia pulang sehelai sepinggang. Pernah juga merasa sangat lapar hingga seperti mahu merangkak. Bersama abah dan adik, dengan badan yang sangat lemah, terus memaksa diri berjalan berkilometer jauhnya menggalas beg yang berat lantaran bas yang tidak dapat bergerak kerana kesesakan lalulintas di pinggir kota Chau Doc, Vietnam. Di kota Bandung pula, telah berjaya menemui sate tradisional  hingga  ‘ memukau’ kami untuk bersimpuh di tepi pejalan kaki sambil menikmati sate yang maha enak.

Secara keseluruhan, perjalanan sukar yang dicari oleh seorang backpacker itu adalah sesuatu yang mendatangkan kedewasaan. Namun seorang “backpacker” yang bijak tidak akan mengabaikan keselamatan dalam usaha mencari ‘kesusahan’. Semua aspek keselamatan ini perlu diambil kira. Sedikit tips untuk mereka yang berura-ura untuk mencuba percutian sebegini, disarankan anda menyediakan sekurang-kurangnya draf perjalanan yang akan dilalui. Pastikan dokumen penting sentiasa berada disisi dan buatlah sedikit penyelidikan bermula dari undang-undang tempat yang ingin dilawati, budaya penduduk setempat dan segala prosedur kemasukan ke negara tersebut. Bagi meraka yang mempunyai keluarga dan anak kecil, cara sebegini mungkin sedikit membebankan. Namun, kiranya ada kekuatan untuk mencuba yang baru, tiada salahnya. Walau apapun corak perjalanan untuk percutian anda, tepuk dada tanya minda!

Oleh :
Shazana Sedek Shah (L41) 
Bahagian Guaman

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply


Powered by WordPress and WordPress Themes, thanks to Live Jasmin

Videos, Slideshows and Podcasts by Cincopa Wordpress Plugin