PROSES PEMBANGUNAN PERISIAN SISTEM

Number of View: 935

Proses Pembangunan Perisian Sistem atau System Software Development Process sudah menjadi sesuatu yang lumrah dalam organisasi pada waktu ini. Organisasi akan menggunakan perisian sebagai pemboleh daya (enabler) kepada sistem kerja bagi memastikan tugas atau bisnes teras mereka dapat dijalankan.

Kerap kali kita keliru dengan perkataan sistem apabila meletakkan semua sistem itu dalam bentuk berkomputer tetapi sistem juga merupakan satu aturan kerja/kaedah dalam melakukan sesuatu tanpa penggunaan tool atau alatan seperti komputer. Pun begitu, bagi sistem berkomputer ia merupakan proses memastikan aturan kerja atau sistem bekerja bisnes dibantu menggunakan teknologi. Sistem komputer ini dibangunkan dan menggunakan perisian atau software yang pada akhirnya akan berinteraksi dengan pengguna supaya kerja dapat dilakukan dengan bersistematik dan mengikut aturan/sistem bisnes sesebuah organisasi.

Bagi membangunkan perisian untuk sesebuah sistem, terdapat pelbagai kaedah/metodologi yang digunakan. Antara yang popular ialah kaedah Air terjun (Waterfall), Pilin (Spiral), Pembangunan Aplikasi Rapid (Rapid Application Development), Agile dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, artikel akan menyentuh berkenaan kaedah yang sangat kerap digunakan dikebanyakan projek pembangunan perisian iaitu Waterfall. Metodologi ini mengandungi enam (6) fasa yang berjujuk. Maksudnya proses bagi pembangunan perisian menggunakan konsep ini perlu melalui setiap fasa secara berturut-turut. Fasa tersebut ialah:

a) Kajian Keperluan Sistem dan Perisian

Semasa proses kajian keperluan ini, pengguna akan dilibatkan untuk mendapatkan kehendak dan keinginan mereka terhadap perisian yang akan dibangunkan. Fasa ini merupakan peringkat paling kritikal kerana ia akan menentukan keseluruhan proses dan hasil (output) perisian yang akan diserahkan kepada pengguna.

Bagi sesetengah organisasi, untuk mendapatkan keperluan ini perlu melibatkan tadbir urus yang sangat ketat. Sebelum pengguna menginginkan sesebuah perisian, permohonan mestilah dibuat kepada pengurusan atasan dan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) sebelum kajian dapat dilaksanakan.

Sekiranya dipersetujui, proses kajian akan dimulakan oleh pasukan pembangun (ICT Personel). Hasil kajian tersebut pula perlu dipulangkan kepada pengguna untuk diluluskan oleh pengurusan atasan pengguna sebelum pihak pembangun meneruskan proses seterusnya dalam Fasa Analisis.

b) Analisis: Melihat kepada model, peraturan bisnes dan skema data

Fasa ini kebiasaannya merupakan fasa bagi pembangun perisian membincangkan keperluan yang telah dimuktamadkan oleh pengguna dan telah ditentukan aliran kerjanya, penyesuaian dengan data yang diperlukan serta memastikan setiap kehendak pengguna diambil kira.

c) Reka bentuk: Merujuk kepada seni bina perisian

Di dalam Fasa Reka Bentuk, tindakan yang diambil selalunya akan melibatkan rupa bentuk perisian tersebut. Ia juga akan melihat kepada struktur perisian tersebut dan berfungsi yang akan disediakan.

Proses menyediakan contoh antara muka pengguna juga berlaku dalam fasa ini dan adakalanya dalam bentuk kertas cadangan atau pun prototyping. Walau bagaimanapun, bagi projek yang perlu penyerahan segera, kaedah protoptyping tidak digunakan kerana mengambil masa yang lama. Bagi ketiga-tiga fasa ini iaitu kajian keperluan, analisis dan reka bentuk akan melibatkan juru analisis sistem (atau system analyst) yang selalunya dalam kalangan Pegawai Teknologi Maklumat.

d) Pengekodan: Melaksanakan pembangunan, membuat kod, pengesahan dan pengintegrasian.

Pengekodan ialah proses yang mana programmer akan membuat kod sumber (source code) mengikut reka bentuk yang telah diterjemahkan daripada analisis keperluan dan diperolehi daripada pengguna. Proses pengekodan ini bergantung kepada skil yang ada pada programmer atau Penolong Pegawai Teknologi Maklumat dan juga perlu dilihat kepada teknologi yang digunakan.

e) Pengujian: Kaedah mencari kesilapan, pepijat dan kecacatan secara bersistematik

Pengujian atau testing merupakan fasa yang paling kritikal kerana ia menentukan sama ada keperluan pengguna berdasarkan analisis dan reka bentuk tersebut adalah tercapai. Proses ini merupakan proses pengesahan kualiti dan semua yang dirancang mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Proses ini mungkin berulang sehingga pengguna telah berpuas hati.

f) Operasi: pemasangan, migrasi, sokongan dan penyelenggaraan bagi perisian sistem yang telah lengkap.

Proses ini merupakan proses terakhir di mana perisian sistem akan dipasang untuk kegunaan pengguna. Selepas pengguna menggunakan aplikasi ini, ia akan diselenggara dari semasa ke semasa bagi memastikan perisian sistem tersebut lancar digunakan.

Walaupun proses penyelenggaran ini nampak mudah, sebenarnya ia memerlukan masa bagi memastikan perkara-perkara teknikal dipatuhi seperti pemeriksaan pangkalan data, perisian sistem seperti Web Server dan Sistem Pengoperasian tidak menyimpan log yang banyak serta perlu juga memastikan fail aplikasi dan penstoran tidak melebihi kapasiti.

Justeru, proses pembangunan perisian ini merupakan proses yang penting bagi sesebuah organisasi yang dibantu ICT tetapi perlu diingat bahawa pembangunannya perlulah teliti bagi memastikan keperluan dapat dilaksanakan oleh pembangun sistem. Bak kata orang, biar lambat asalkan selamat.

Unit Perancangan dan Pembangunan Sistem
Seksyen Teknologi Maklumat, Bahagian Pengurusan

Both comments and pings are currently closed.

Comments are closed.

Powered by WordPress and WordPress Themes, thanks to Live Jasmin

Videos, Slideshows and Podcasts by Cincopa Wordpress Plugin