Suku Kaum Bidayuh

Number of View: 11661

Lagu Puteri Santubong  

Kaum Bidayuh adalah masyarakat yang mendiami kawasan barat daya Sarawak, terutamanya Bahagian Serian, Kuching dan di barat Kalimantan. Mereka terdiri daripada empat pecahan etnik iaitu:

  • Selakau/Lara (Daerah Lundu)
  • Jagoi/ Singai (Daerah Bau)
  • Biatah (Daerah Kecil Padawan)
  • Bukar/ Sadong (Daerah Serian)

Mereka kebanyakannya beragama Kristian. Hanya sebahagian sahaja yang menganut agama Islam dan animisme.
Pada zaman dahulukala, suku kaum bidayuh tinggal di rumah panjang. Lazimnya penempatan rumah panjang suku kaum Bidayuh terletak jauh di kawasan pendalaman dan tanah tinggi. Ini adalah bagi tujuan keselamatan iaitu untuk sukar dikesan oleh musuh. Struktur rumah panjang kaum Bidayuh tidak jauh bezanya dengan struktur rumah panjang masyarakat Iban di Sarawak. Atap rumah panjang kaum Bidayuh diperbuat daripada atap rumbia atau sagu, manakala dindingnya pula daripada buluh. Pelantar atau lantai rumah panjang pula diperbuat daripada papan atau buluh manakala tiangnya pula diperbuat daripada kayu belian.

Rumah panjang Masyarakat Bidayuh terbahagi kepada 3 bahagian iaitu “bilik utama”, “awah, dan ‘tanju”. “Bilik utama” dapat kita samakan dengan ruang utama kediaman pada masa sekarang. Di dalam bilik ini, masyarakat Bidayuh lazimnya meletakkan barang-barang peribadi milik keluarga dan keturunan mereka seperti Gong, tempayan, tembikar dan sebagainya. Ruang ini juga berfungsi sebagai tempat tidur di kala malam hari. “Awah” pula adalah bahagian pelantar di luar rumah panjang Masyarakat Bidayuh dan lazimnya ia bertutup dan beratap. Ia dapatlah disamakan dengan berandah rumah pada dewasa ini. Di “awah” masyarakat Bidayuh menjalankan aktiviti-aktiviti harian mereka seperti menganyam, berbual, membuat peralatan bertani dan sebagainya. Ruangan “awah” juga akan digunakan untuk sebarang upacara keagamaan seperti perkahwinan, pantang larang dan pesta-pesta tertentu seperti pesta gawai dan sebagainya. “Tanju” pula adalah bahagian terluar di dalam rumah panjang masyarakat bidayuh. Bahagian “tanju” biasanya terdedah dan lazimnya tidak bertutup mahupun beratap. “Tanju” lazimnya digunakan menjemur hasil tuaian masyarakat Bidayuh seperti lada, padi, jagung dan sebagainya.

 

BAHASA BIDAYUH

Bahasa Bidayuh agak unik berbanding bahasa lain yang terdapat di Sarawak. Keunikan ini adalah berdasarkan sebutan, pertuturan, gerak gaya dan alunan yang dipertuturkan. Lazimnya bahasa Bidayuh akan berubah intonasi dan bahasa mengikut kampung dan daerah tertentu. Ini menyebabkan suku kaum ini sukar untuk berkomunikasi antara satu sama lain sekiranya mereka dari suku dan daerah yang berlainan. Sebagai contoh suku Bidayuh dari kawasan Serian menyebut “makan” ialah “ma-an” manakala suku Bidayuh dari kawasan Padawan pula menyebut “makan” sebagai “man”.

PAKAIAN TRADISIONAL BIDAYUH 

Warna hitam adalah warna utama dalam pemakaian masyarakat Bidayuh. Bagi kaum wanita masyarakat Bidayuh, pakaian lengkap adalah termasuk baju berlengan pendek atau separuh lengan dan sepasang kain sarung berwarna hitam paras lutut yang dihiasi dengan manik halus pelbagai warna disulami dengan kombinasi warna utama iaitu putih, kuning dan merah. Tudung kecil separuh tinggi dengan corak anyaman yang indah atau penutup kepala daripada kain berwarna warni dengan sulaman manik halus adalah pelengkap hiasan kepala wanita masyarakat Bidayuh. Kaum lelaki masyarakat Bidayuh pula lazimnya mengenakan sepasang persalinan berbentuk baju hitam separa lengan atau berlengan pendek dengan sedikit corak berunsur flora dan seluar hitam atau “cawat” yang berwarna asas seperti biru, merah dan putih. Kain lilit kepala pula pelengkap hiasan kepala kaum lelaki masyarakat ini.

MUZIK MASYARAKAT BIDAYUH

Bagi masyarakat Bidayuh, muzik memainkan peranan yang penting dalam setiap upacara keagamaan yang mereka jalankan. Muzik ini berperanan menaikkan semangat, mengusir roh jahat dan sebagai pententeram kepada semangat roh. Muzik juga memainkan peranan dalam pemberitahuan motif sesuatu upacara yang dijalankan. Umumnya, muzik tradisional masyarakat Bidayuh terdiri daripada sepasang gong besar, Canang, Gendang dan Tawak (sejenis gong kecil).

 SENJATA TRADISIONAL MASYARAKAT BIDAYUH

 

Lembing, tombak, parang ilang (parang pendek), sumpit, “jepur” (seakan samurai) dan “rira” (meriam kecil) adalah peralatan senjata yang lazimnya digunakan oleh masyarakat ini untuk berperang pada zaman dahulu kala. Manakala peralatan senjata seperti parang, cangkul dan sabit selalunya digunakan untuk aktiviti pertanian.

PERKAHWINAN

Bagi masyarakat Bidayuh, perkahwinan ialah satu cara untuk menjadi anggota dan menikmati hak sebagai anggota biik atau ramin itu. Masyarakat Bidayuh mengamalkan monogami sahaja. Namun demikian, perkahwinan semula selepas penceraian ialah satu perkara biasa. Oleh sebab larangan yang kuat terhadap inses, perkahwinan luar daripada keluarga sendiri ialah peraturan penting dalam masyarakat tersebut. Masyarakat Bidayuh juga melarang perkahwinan antara sepupu. Kumpulan seperti Dayak Selako melarang ahlinya daripada berkahwin dengan anggota kaum yang pernah menjadi musuh perang mereka kerana khuatir akan termakan sumpah namun kerana sudah berlaku perkahwinan yang pertama antara nenek datuk rnereka dengan keturunan bekas musuh rnereka, maka larangan tersebut mansuh. Di kalangan kumpulan Dayak Bukar-Sadong, peraturan tentang perkahwinan agak longgar. lelaki dan perempuan boleh bebas bergaul dan berkenalan antara satu dengan lain sebelum mereka berkahwin.

Sebagai kesimpulannya, setiap suku kaum yang terdapat di Malaysia mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Bersama-sama kita memeliharanya agar tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan….. sekian terima kasih.

“Petikan ini dipetik dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.”

Disediakan oleh,
Ziana Anak Rumpet
(Pembantu Tadbir [P/O]) N17
Jabatan Peguam Negara Malaysia,
Sarawak.

You can leave a response, or trackback from your own site.

4 Responses to “Suku Kaum Bidayuh”

  1. nur hazzah says:

    bagus i like it saya suka kan nya

  2. Juliza says:

    saya suka adat ne…
    x risau pkhwinan dgn kaum lain untk pnybaran adat srta budaya…
    yg kini kian bkembang

  3. cni says:

    minta tolong emailkan saya baju2 perkahwinan kaum bidayuh salako dengan detail kerana untuk mmbuat research dgn lebih mendalam.tq

  4. rara says:

    xda ke sal perayaan kaum bidayuh ni??

Leave a Reply


Powered by WordPress and WordPress Themes, thanks to Live Jasmin

Videos, Slideshows and Podcasts by Cincopa Wordpress Plugin