PELAKSANAAN PEMBANGUNAN PROJEK SECARA KERJASAMA AWAM SWASTA (PUBLIC PRIVATE PARTNERSHIP)

Number of View: 5669

PELAKSANAAN PEMBANGUNAN PROJEK SECARA KERJASAMA AWAM SWASTA (PUBLIC PRIVATE PARTNERSHIP)

A.        Perolehan Kerajaan

Pembangunan projek infrastruktur oleh Kerajaan dilaksanakan berdasarkan pematuhan kepada tatacara perolehan yang diperuntukkan dalam Arahan Perbendaharaan. Arahan Perbendaharan menerangkan tatacara kewangan dan perakaunan yang perlu dipatuhi oleh semua Pegawai Pengawal atau Pegawai Yang Diberi Kuasa (di mana berkaitan) yang bertanggungjawab bagi perkara-perkara berikut:

(a)       memungut, menerima atau mengakaun Wang Awam;

(b)       membelanja atau membayar apa-apa Wang Awam; dan

(c)        menerima, menyimpan, mengeluar, melupus, menghapus kira dan mengakaun Aset Awam (kecuali tanah dalam Persekutuan dan Negeri.

2.         Arahan Perbendaharaan dibahagikan kepada tiga (3) bab iaitu

(a)       Bab A – Tatacara Kewangan;

(b)       Bab B – Tatacara; dan

(c)        Bab C – Audit, Kehilangan dan Tatacara Hapus Kira.

3.         Bagi tujuan projek Kerajaan, pegawai-pegawai Kerajaan hendaklah patuh kepada tatacara perolehan bekalan, perkhidmatan dan kerja sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian III, Bab B Arahan Perbendaharaan. Sebagai contoh, perolehan bagi bekalan yang tidak melebihi RM50,000.00 dilaksanakan melalui sebut harga (AP 170.1) manakala bagi perolehan bekalan melebihi RM500,000.00, tatacara perolehan hendaklah dilaksanakan secara tender (AP 171.1). Selain itu, bagi perolehan kerja pula, sekiranya kos kerja melebihi RM500,000.00, pelawaan tender juga hendaklah dilaksanakan (AP181).

4.         Lazimnya, projek pembangunan Kerajaan yang dilaksanakan dibiayai melalui wang awam (public budget) dan risikonya terletak kepada Kerajaan kerana mana-mana projek yang lewat disiapkan akan mengakibatkan implikasi kewangan tambahan yang akan membebankan Kerajaan. Pembayaran pembangunan projek tersebut menggunakan peruntukan belanjawan yang telah diagih-agihkan kepada setiap agensi Kerajaan berkenaan selaras dengan perancangan pembangunannya dengan kos pembangunan yang telah ditetapkan.

5.         Ini bermakna, semua agensi Kerajaan hendaklah membuat perancangan projek secara teratur dan rapi dengan lebih awal untuk tujuan permohonan peruntukan pembangunan yang akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (“MOF”). Sekiranya permohonan peruntukan pembangunan tersebut diluluskan oleh MOF maka agensi Kerajaan berkenaan boleh meneruskan dengan pelaksanaan projek berkenaan dengan nilai projek yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, terdapat keadaan tertentu yang menyebabkan MOF tidak dapat mempersetujui suatu cadangan projek pembangunan kerana mungkin kos projek yang dicadangkan adalah terlalu tinggi dan difikirkan tidak munasabah atau tiada keperluan mendesak untuk pelaksanaan projek pada ketika itu.

6.         Apabila MOF tidak bersetuju untuk melaksanakan mana-mana projek yang dicadangkan oleh agensi Kerajaan, terdapat keadaan di mana agensi Kerajaan berkenaan akan mencadangkan supaya pelaksanaan pembangunan projek tersebut dibuat melalui kaedah kerjasama awam swasta (“PPP”).

B.        Pelaksanaan Projek Kerajaan Melalui Kaedah Kerjasama Awam Swasta (PPP)

7.         Kerajaan memperkenalkan pendekatan pelaksanaan projek secara PPP dalam Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (“RMKe-9”) dan tujuannya adalah untuk memberikan alternatif pelaksanaan pembangunan projek Kerajaan dengan melibatkan pihak swasta serta berkongsi risiko tertentu. PPP merupakan suatu bentuk kerjasama di antara Kerajaan dan pihak swasta di mana perniagaan secara stand alone diwujudkan melalui suatu penubuhan sebuah syarikat special purpose vehicle (“SPV”) oleh syarikat dan perniagaan berkenaan akan menumpukan khusus kepada projek yang dipersetujui oleh Kerajaan.  Dalam erti kata lain, SPV berkenaan tidak boleh menjalankan perniagaan lain dan hanya perlu menumpukan kepada projek yang dikendalikan. PPP merupakan suatu konsep yang telah dilaksanakan oleh kebanyakan negara yang antara lain seperti United Kingdom, Australia, Singapore dan Filipina bagi pelaksanaan projek pelbagai sektor seperti pendidikan, kesihatan dan pengangkutan. Malah, terdapat negara yang mempunyai perundangan PPP iaitu seperti Filipina.

8.         Melalui pelaksanaan projek PPP, SPV akan diwujudkan, dibiayai dan diuruskan oleh syarikat swasta sebagai satu pakej yang akan meliputi pembinaan, pengurusan, penyenggaraan, pembaikan dan penggantian aset milik Kerajaan.

9.         Oleh itu, sekiranya mana-mana agensi Kerajaan bercadang untuk melaksanakan pembangunan projek melalui kaedah PPP, agensi Kerajaan berkenaan hendaklah merujuk cadangan projek berkenaan kepada agensi yang dipertanggungjawabkan merancang, menyelaraskan, menilai, merunding dan memantau projek PPP iaitu Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (“UKAS, JPM”) terlebih dahulu.

10.       Bidangkuasa UKAS, JPM ke atas projek-projek PPP diperuntukkan melalui Perintah Menteri-Menteri Persekutuan (No.2) 2013 [P.U.(A) 184/2013] yang dibuat di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1960 [Akta 2]. Perintah berkaitan memperuntukkan seperti berikut:

Merancang, menyelaraskan, menilai, merunding serta memantau semua projek penswastaan dan Kerjasama Awam Swasta (PPP) serta projek-projek pembangunan Koridor.”

11.       Dalam hal ini, UKAS, JPM telah mengeluarkan suatu garis panduan untuk agensi Kerajaan memahami dan mendapatkan maklumat berkenaan PPP dan garis panduan berkenaan mengandungi penjelasan berhubung perkara berikut:

(a)       rangka konsep PPP;

(b)       prinsip pembayaran;

(c)        kriteria penilaian projek;

(d)       struktur pelaksanaan projek;

(e)       prosedur pemprosesan dan pelaksanaan; dan

(f)        panduan penyediaan business case projek.

Garis panduan berkenaan boleh diakses melalui website UKAS, JPM untuk rujukan dan pemahaman lanjut.

12.       Secara amnya, pelaksanaan sesuatu projek secara PPP memberikan fleksibiliti kepada agensi Kerajaan kerana agensi Kerajaan berkenaan tidak perlu membuat bayaran progresif ke atas kemajuan pembinaan semasa projek sebagaimana yang lazim dilaksanakan untuk projek-projek bangunan secara konvensional. PPP memberikan ruang dan peluang kepada agensi Kerajaan untuk merancang belanjawan pembanguannya dengan rapi kerana Kerajaan tidak perlu membuat apa-apa bayaran semasa dalam tempoh pembinaan memandangkan di peringkat tersebut, segala kos  ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat terlebih dahulu. Apabila bangunan telah siap dibina sepenuhnya mengikut spesifikasi teknikal yang dipersetujui oleh Kerajaan dan Kerajaan telah menerima penyerahan bangunan berkenaan daripada syarikat,  maka obligasi pembayaran Kerajaan akan bermula secara bulanan dan komponen pembayaran lazimnya akan melibatkan availability charges, maintenance charges dan life cycle charges.

C.        KESIMPULAN

13.       Walaupun sejak kebelakangan ini, beberapa projek pembangunan projek Kerajaan dilaksanakan secara PPP, agensi Kerajaan yang berminat mengguna pakai kaedah ini sewajarnya memperhalusi skop teknikal, aspek kewangan dan keseimbangan risiko projek bagi memastikan kepentingan Kerajaan sentiasa dilindungi di samping memastikan pelaksanaannya memberikan pulangan value for money kepada Kerajaan berbanding dengan pelaksanaan pembangunan projek secara konvensional.

14.       Selain itu, terdapat projek yang tidak sesuai dilaksanakan secara PPP, sebagai contoh, projek berkenaan melibatkan teknologi yang belum stabil atau berubah-ubah dalam jangka masa yang pendek seperti projek teknologi maklumat dan komunikasi (“ICT”). Perkara ini turut diperuntukkan dalam Garis Panduan UKAS, PPP. Kesimpulannya, mana-mana agensi Kerajaan yang memilih PPP sebagai kaedah pembangunan yang difikirkan sesuai hendaklah sentiasa berpandukan kepada tatacara yang disediakan dalam Garis Panduan UKAS, JPM serta merujuk projek tersebut kepada UKAS, JPM terlebih dahulu bagi mendapatkan input dan nasihat awal.

Disediakan oleh:

Unit Teknologi Maklumat & Kewangan

Bahagian Penasihat

13 Oktober 2015

You can skip to the end and leave a response. Pinging is currently not allowed.

Leave a Reply


Powered by WordPress and WordPress Themes, thanks to Live Jasmin

Videos, Slideshows and Podcasts by Cincopa Wordpress Plugin