PEGANGAN TANAH MILIK KERAJAAN MALAYSIA DI DALAM DAN LUAR NEGARA

Number of View: 4970

1.     Kuasa Persekutuan berhubung pegangan tanah dinyatakan dalam Perkara 69(1) Perlembagaan Persekutuan (“PP”). Perkara 69(1) PP antara lain memperuntukkan Persekutuan mempunyai kuasa untuk mengambil, memegang dan melupuskan apa-apa jenis harta. Sebagai rujukan, Perkara 69(1) PP memperuntukkan seperti berikut:

(1) The Federation has power to acquire, hold and dispose of property of any kind and to make contracts.”

2.     Selanjutnya, Perkara 39 PP memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan terletak hak kepada Yang di-Pertuan Agong yang dilaksanakan oleh Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri. Walau bagaimanapun, Parlimen boleh melalui undang-undang memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain. Sebagai rujukan, Perkara 39 PP memperuntukkan seperti berikut:

“The executive authority of the Federation shall be vested in the Yang di-Pertuan Agong and exercisable, subject to the provisions of any federal law and of the Second Schedule, by him or by the Cabinet or any Minister authorized by the Cabinet, but Parliament may by law confer executive functions on other persons.”

3.     Berdasarkan peruntukkan di atas, Parlimen telah memberikan kuasa kepada sebuah perbadanan yang dinamakan sebagai Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (“PTP”) melalui Akta Pesuruhjaya Tanah Persekutuan 1957 [Akta 349] antara lain untuk memegang tanah-tanah milik Persekutuan yang dahulunya terletak hak kepada Ketua Setiausaha (Chief Secretary). Pemakaian Akta 349 telah dipanjangkan ke Sabah dan Sarawak melalui Modification of Laws (Federal Lands Commisioner) (Extension to Borneo States) Order 1967 [L.N. 495/1967].

4.     Meskipun PTP merupakan sebuah perbadanan dan entiti dari segi undang-undang, Hansard bagi Akta 349 menyatakan PTP memegang tanah bagi pihak Kerajaan Persekutuan. Antara kuasa yang diberikan kepada PTP adalah memegang harta tak alih dan memajak atau melupuskan harta yang dipegang atas nama PTP seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 4 Akta 349. Selain itu, PTP juga boleh menyaman dan disaman atas namanya sendiri seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 3(3) Akta 349.

5.     Sebagai rujukan seksyen 3(3) dan 4 Akta 349 memperuntukkan seperti berikut:

Seksyen 3

(3) The Corporation may sue and be sued in its said name and shall have perpetual succession and a corporate seal, and the said seal may from time to time be broken, changed, altered and made anew as to the Corporation seems fit, and, until a seal is provided under this section, a stamp bearing the inscription “the Federal Lands Commissioner” may be used as the corporate seal.”

Seksyen 4

The Corporation may enter into contracts and may acquire, purchase, take, hold and enjoy movable and immovable property of every description, and may convey, assign, surrender and yield up, charge, mortgage, demise, reassign, transfer or otherwise dispose of, or deal with, any movable or immovable property vested in the Corporation upon such terms as to the Corporation seems fit.

6.     Selain itu, Kaedah 14 Pekeliling Perbendaharaan Malaysia menyatakan pembelian tanah adalah tertakluk kepada peruntukan yang mencukupi dan hendaklah dibuat melalui PTP dan dipindah milik serta didaftarkan atas nama “PESURUHJAYA TANAH PERSEKUTUAN”. Ini bermaksud setiap pembelian tanah Kerajaan akan dilakukan dan didaftarkan atas nama PTP. Hal ini selaras dengan kuasa yang diberikan kepada PTP melalui seksyen 4 Akta 349.

7.     Walaupun tanah Kerajaan dipegang oleh PTP, berdasarkan Perkara 86(1) PP dibaca bersama dengan Perkara 39 PP, tanah-tanah tersebut tidak boleh dilupuskan kepada mana-mana orang tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Jemaah Menteri. Ini bermaksud kelulusan Jemaah Menteri masih diperlukan sekiranya PTP hendak melupuskan tanah Kerajaan.

8.     Berhubung pegangan hartanah-hartanah milik Kerajaan Persekutuan di luar negara, meskipun PTP diwujudkan, namun selaras dengan Perkara 69(1) PP, Kerajaan Persekutuan tidak terhalang untuk memegang tanah atas nama “Kerajaan Malaysia (Government of Malaysia)”. Ini adalah bagi mendapatkan keistimewaan dan imuniti (privileges and immunities) di bawah undang-undang antarabangsa. Ini adalah selaras dengan konteks undang-undang antarabangsa yang mana hanya sesuatu negara (State) sahaja yang diiktiraf dan mempunyai ‘legal personality’, dan bukan selainnya.

9.     Professor Abdul Ghafur Hamid @ Khind Maung Sein dalam bukunya iaitu Public International Law, A Practical Approach 2nd Edition di muka surat 84-86 menyatakan bahawa subjek kepada undang-undang antarabangsa adalah negara (‘states’) yang diiktiraf di dunia, dan sesebuah negara yang diiktiraf tersebut mempunyai ‘legal personality’ dalam undang-undang antarabangsa. Di antara ciri-ciri “international personality” yang dinyatakan di dalam buku tersebut adalah seperti berikut:

“(a) The enjoyment of rights conferred and the subjection to obligations imposed by international law;

(b) Capacity to enter into treaties and agreements valid on the international plane;

(c)  Capacity to make claims in respect of breaches of international law; and

(d) The enjoyment of privileges and immunities from national jurisdictions.”

10.     Perkara ini juga adalah selaras dengan Perkara 74 dan 76 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa hanya Kerajaan Persekutuan sahaja yang mempunyai kuasa berhubung dengan perkara-perkara yang melibatkan hal ehwal antarabangsa termasuk ‘external affairs, foreign affairs dan international relations’. Sehubungan dengan itu, ‘international personality’ bagi Malaysia adalah terletak hak kepada Kerajaan Persekutuan sahaja.

11.     Oleh yang demikian, hartanah-hartanah milik Kerajaan Persekutuan di luar negara hendaklah didaftarkan di atas nama “Kerajaan Malaysia (Government of Malaysia)” dan bukan atas nama PTP bagi mendapatkan perlindungan di bawah undang-undang antarabangsa dan berhak mendapat keistimewaan dan imuniti yang sepatutnya.

Disediakan oleh:

Nur Hafizah Hasib
Unit Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan dan Jawatankuasa Khas Negara
Bahagian Penasihat
Jabatan Peguam Negara

You can skip to the end and leave a response. Pinging is currently not allowed.

Leave a Reply


Powered by WordPress and WordPress Themes, thanks to Live Jasmin

Videos, Slideshows and Podcasts by Cincopa Wordpress Plugin