PALESTIN : KURINDUI BARAKAHMU – Bahagian 8

Number of View: 5026

8.TAPISAN IMIGRESEN

Perjalanan untuk sampai ke Palestin memakan masa yang agak lama dengan menempuh jalan udara dan jalan darat.Dari KLIA kami menaiki kapalterbang Etihad Airways menuju ke Lapangan Terbang Abu Dhabi yang mengambil masa hampir 8 jam.Solat subuh dilakukan di dalam kapalterbang.Di Lapangan Terbang Abu Dhabi kami transit hampir dua jam jam dengan menukar kapal terbang untuk menuju ke Lapangan Terbang Queen Alia, Jordan.Perjalanan ke Jordan pula mengambil masa hampir 3 jam.Dari Lapangan Terbang Queen Alia, Jordan, kami menaikki dua buah bas    pelancong kerana rombongan kami seramai 96 orang dan dibahagikan bas menurut penerbangan kami iaitu yang menaikii kapalterbang Royal Jordan dan Etihad Airways semasa di KLIA.Untuk ke sempadan Jordan dan Palestin mengambil masa hampir 1 jam.Di dalam perjalanan, kami singgah makan nasi arab berlaukkan kambing.Walaupun nasi yang diberikan agak banyak, namun disebabkan perut kosong dan suasana cuaca yang amat sejuk, semua jemaah dapat menghabiskannya apatah lagi disertakan dengan air  teh arab yang panas lagi menyamankan.

Setelah selesai makan, kami  meneruskan perjalanan ke sempadan Jordan-Palestin.Di komplek Kastam dan Imigresen Jordan, semasa Mutawif Ustaz Muhamad dan pemandu pelancong menguruskan paspot dan beg-beg, kami ke surau untuk melakukan solat jamak takhir asar dan dzohor.Ada juga yang mengambil kesempatan untuk melawat  kedai bebas cukai yang terdapat di sini.Sungguh bertuah kami kerana di sini proses pengurusan paspot dan barangan berjalan lancar.

Semasa taklimat seminggu sebelum berangkat, Ustaz Muhammad memaklumkan jemaah Universiti Kehidupan yang kami sertai adalah yang ke 21.Ustaz amat bersyukur kerana inilah kali pertama kelulusan visa diberikan dua minggu sebelum tarikh berlepas kerana sebelum ini kelulusan ada yang diperolehi pada hari penerbangan dan ada kalanya semasa di KLIA.Walaupun demikian, Ustaz telah berkali-kali berpesan supaya terus berdoa kerana  halangan yang sering dialami adalah ketika berurusan di kaunter imigresen dan barangan untuk memasukki Palestin yang dikendalikan sepenuhnya oleh Israel.Semasa di Lapangan Terbang Queen Alia, kami telah diberikan salinan permohonan visa yang dibuat sebelum ini untuk memulihkan ingatan kepada apa yang dicatat di dalam borang tersebut.Ini adalah kerana pegawai imigresen seringkali akan bertanya soalan-soalan yang berkisar kepada borang yang telah diisi.Jika apa yang dijawab berlainan dengan apa yang tercatat di dalam borang, maka proses imigresen akan mengambil masa yang lebih lama.Kami juga dinasihatkan supaya membawa paspot masing-masing ke mana sahaja kami pergi kerana pemeriksaan mengejut sering dilakukan tanpa mengira tempat oleh Imigresen Yahudi di samping pos-pos imigresen yang sedia ada.

Di samping itu, Ustaz juga meminta kerjasama jemaah lelaki yang memakai songkok, kopiah atau serban untuk menanggalkannya manakala jemaah wanita yang berpudah  untuk membukanya sebelum memasukki pintu pagar pertama kawasan pemeriksaan sehinggalah meninggalkan komplek Imigresen Yahudi.Jemaah juga dinasihatkan agar tidak merakamkan sebarang gambar di kawasan ini dan patuhilah sahaja apa jua arahan yang diminta untuk kemudahan jemaah bersama bak kata pepatah apabila masuk kandang kambing mengembek dan apabila masuk kandang kerbau menguak.

Pada hari kami sampai, laluan ke Palestin baru dibuka setelah mengalami ribut salji yang melanda bumi Palestin dan Jordan.Menurut rakyat tempatan, salji seumpama ini tidak melanda bumi Palestin selama  hampir 100 tahun.Di tepi-tepi jalan kelihatan penduduk tempatan menjual baju sejuk.

Perjalanan melalui King Hussein Bridge dari Jordan menuju ke sempadan Jordan Palestin diselubungi salji.

Terdapat 3 pintu masuk ke Bumi Barakah Palestin iaitu melalui King Hussein Bridge, Jordan,Sheikh Hussein Bridge Jordan dan Rafah, Mesir.

Jika kita masuk melalui King Hussein Bridge, kita  akan melalui jalan ke Jericho iaitu bandar paling rendah di dunia. Ia berada pada tahap 350 meter di bawah paras laut. Ia berhampiran dengan laut mati iaitu tempat paling rendah di dunia  kerana Jurusalem adalah tanah tinggi setinggi 800 meter dari paras laut. Jadi, perjalanan bermula dengan 350 meter ke 800 meter dari paras laut.


Jambatan Raja Hussein

Setelah menyeberangi King Hussein’s Bridge, kita dapat melihat bangunan kastam dan imigresen Israel berada di sebelah kanan berdasarkan bendera Israel berkibar di tiang bendera.


Persimpangan antara tanah rendah dan tanah tinggi

Apabila kita mula memasukki tanah tinggi Jerusalem, kita akan nampak tiga menara tinggi. Yang kanan sekali ialah menara Universiti Hebrew, menara yang tengah ialah menara gereja Kristian Protestan.Mereka mempercayai selepas  Nabi Isa disalib Baginda naik ke syurga di menara ini. Bagi kita orang Islam, Nabi Isa diangkat oleh Allah ke langit dan akan turun kembali di akhir zaman. Menara ketiga ialah menara gereja Russian Ortodox. Mereka mendakwa merekalah Kristian yang asal sebelum berpecah kepada Katolik dan Protestan.

3 Menara -  kanan sekali-  menara Hebrew Universiti, menara tengah – menara gereja Kristian Protestan, Menara di kiri ialah menara gereja Russian Ortodox.

Di antara sempadan Jordan dan Palestin, terdapat satu kawasan sepanjang 4 kilometer yang dipanggil  zon bebas antarabangsa.  Lebih kurang 300 meter selepas itu, maka berkibarlah bendera Yahudi yang jika menurut sejarah merupakan lambang negara Islam.

Gambar di bawah merupakan pintu pagar pertama yang dilalui selepas merentasi Jambatan Raja Hussein atau dipanggil Jambatan Allenby oleh orang Yahudi.Di sini tentera Yahudi  menggunakan alat pengesan bom, bahan api, senjata api dan letupan  di keseluruhan  luar badan bas.Setelah berpuashati , bas dilepaskan untuk meneruskan perjalanan.Prosidur yang sama sepatutnya diharungi oleh bas kami sebanyak 4 kali pemeriksaan keselamatan ke atas bas namun tentera Yahudi yang kami  lalui  hanya bertanyakan kepada pemandu pelancong kami  dari mana dan bas dibenarkan meneruskan perjalanan tanpa sebarang sekatan sehinggalah bas kami sampai di komplek Imigresen Israel untuk pemeriksaan paspot, badan dan barang-barang yang dibawa dalam beg.Sepanjang 5 pemeriksaan ini, kami berada di dalam bas dan hanya melalui kawasan pemeriksaan yang dikawal rapi oleh tentera Yahudi  dengan senjata dalam keadaan siap-siaga dan pakaian kalis peluru. Syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana halangan ini telah dilalui dengan amat mudah.


Pintu pagar pertama untuk memasukki bangunan imigresen Israel.

Kedudukan Amman terletak kira-kira 3000 kaki di atas paras laut, sebab itu cuaca di sana agak sejuk dan telinga kami berdengung kerana kami bergerak menuruni bukit sehingga ke bawah paras laut. Dalam perjalanan, sebelum sampai ke Palestin, kami singgah di sebuah tempat yang terdapat batu tanda menunjukkan aras paras laut, rupa-rupanya sebahagian bumi Palestin, termasuk laut mati terletak di bawah paras laut.

Laut mati, menurut papan tanda yang terdapat di situ, berada kira-kira 1000 kaki di bawah paras laut.


Pintu masuk ke kawasan pemeriksaan sempadan masuk ke Palestin.

Beberapa gambar menunjukkan pos tentera Yahudi sekitar Bandar Palestin

Setelah sampai di komplek Imigresen,penumpang bas tidak dibenarkan turun sehingga diberi arahan untuk turun.Selepas menunggu lebih kurang 15 minit, kami dibenarkan turun dari bas dan mengambil beg masing-masing untuk pemeriksaan beg.Bas yang membawa kami akan kembali ke Jordan kerana hanya bas dari Palestin sahaja dibenarkan untuk mengambil jemaah untuk dibawa masuk ke Palestin.Setelah beg diambil, beg akan melalui mesin pengimbas bagi tujuan pengimbasan seperti yang terdapat di KLIA.Kami diberi pelekat yang ditampal di paspot untuk pengecaman beg.Beg akan diambil  kemudian di bahagian dalam komplek.Bas kedua jemaah kami tersangkut kerana katanya ada jemaah yang mengambil gambar menyebabkan pemeriksaan dibuat ke atas bas kedua dan mereka lewat sampai ke komplek pemeriksaan hampir 45 minit setelah bas kami tiba.

Selepas itu setiap penumpang akan diminta ke bahagian pemeriksaan paspot untuk diperiksa paspot masing-masing.Di sini, saya ditanya sebanyak dua kali apa nama saya.Setelah diberitahu, pegawai imigresen wanita Yahudi  tersebut tersenyum sambil mengucapkan “have a nice day” kerana membalas ucapan yang sama yang saya berikan kepada beliau.

Di bahagian ini, pegawai  imgresen tersebut akan menampal satu pelekat yang yang mempunyai nombor 1,2,3,4.Pelekat ini akan ditampal pada paspot masing-masing.Ia juga akan ditampal dengan nombor siri yang hendaklah dibiarkan di dalam paspot bagi tujuan pengenalan.Nombor yang dibulatkan akan menunjukkan tahap bahaya setiap jemaah.Kebanyakan jemaah dibulatkan nombor 3.Saya dan mutawif Ustaz Muhamad diberikan nombor 4.Ini bererti proses seterusnya akan lebih sukar kerana tahap bahaya yang telah diberikan kepada kami.Bagi Ustaz memperolehi nombor 4 adalah amalan biasa untuknya yang boleh dikatakan sebulan sekali akan mengunjungi Palestin. Bagi saya, apa yang boleh dilakukan adalah berdoa semuga urusan seterusnya dipermudahkan.Sepanjang masa doa-doa tidak putus-putus dibacakan agar mempermudahkan setiap urusan kami.Ustaz juga membimbing bacaan tasbih dan selawat sepanjang berada di dalam bas di selang-seli dengan sejarah setiap tempat yang dilalui dan dilawati.

Nombor pengenalan yang berbeza bagi setiap jemaah yang ditampal di paspot masing-masing di kaunter imigresen yang pertama berserta nombor tahap bahaya seseorang pada pandangan Imigresen Yahudi.

Selepas selesai proses semakan paspot dan nombor diberikan kami ke bahagian pemeriksaan badan dengan melalui mesin imbasan tubuh-badan dan barang-barang yang dibawa dengan tangan.

Langkah seterusnya yang perlu kami lalui adalah pemeriksaan paspot yang akan menentukan kemudahan atau kesukaran yang akan dialami kerana mereka akan memeriksa permohonan visa yang telah diluluskan sebelum ini. Mereka akan bertanya pelbagai soalan diacukan seperti  nama datuk, nombor telefon,alamat menginap di Palestin, tempat-tempat yang akan dilawati di Palestin  dan lain lain untuk pengesahan.Soalan-soalan yang akan ditanya adalah mengikut kesukaan mereka dan tidak dapat dijangka.Seytelah berpuashati dengan paspot dan visa saya,, pegawai imigresen ini mencetak visa kecil dan menyerahkan kepada saya.Paspot tidak dicop dengan cop imigresen Israel tetapi diberikan satu visa yang mesti disimpan dalam paspot sepanjang masa untuk mpemeriksaan pada bila-bila masa sepanjang berada di Palestin.Kami amat-amat bersyukur kerana semua jemaah tidak menghadapi masalah di kaunter ini.

Visa sempadan yang diberikan menggantikan cop imigresen memasukki Palestin dengan kesan koyakan menunjukkan telah melalui proses imigresen sepenuhnya.


Setelah itu, kami perlu melalui satu lagi kaunter pemeriksaan  paspot.Apa yang saya perhatikan adalah pegawai imigresen ini memeriksa paspot dan visa.Setelah itu pegawai tersebut mengoyak di hujung visa dan membuat catatan seperti tandatangan ringkas untuk menunjukkan pemeriksaan telah sempurna.

Kaunter terakhir adalah kaunter untuk mengambil beg-beg.Kita hendaklah bersyukur sekiranya dapat mengambil beg kita di kaunter ini.Ini adalah kerana jika beg kita tidak diletakkan di sini, maka ini bererti kita perlu melalui pemeriksaan beg 100 %.Ia bermaksud  beg akan diperiksa secara ketat yang diletakkan di kaunter yang lain pla.Syukur sekali lagi kerana beg-beg semua jemaah melalui kaunter ini tanpa apa-apa masalah.

Setelah beg-beg diambil dan menaikki bas yang sedia menunggu, barulah kami tahu ada 2 orang jemaah kami yang dipelawa menunggu tanpa sebab di kaunter paspot.Tiada alasan diberikan mengapa mereka diminta menunggu yang mana akhirnya mereka dibenarkan meneruskan perjalanan tanpa sebarang sebab diberikan mengapa mereka diminta menunggu.Mereka menunggu dalam masa 2  jam di kaunter paspot mengakibatkan semua ahli jemaah perlu menunggu juga.

Bagi saya tempoh masa menunggu itu adalah lumrah kerana telah menjadi asam-garam dalam tugasan harian menunggu dan menunggu dengan penuh ketabahan dan kerelaan.Tanpa saya sedari rupa-rupanya penantian yang selalu dialami  merupakan latihan untuk saya hadapi di Palestin .Maha suci Allah.

Saya dapat melihat sendiri bagaimana 2 bas pelancong dari Nigeria tidak dibenarkan masuk .Malahan bagi warga Palestin, layanan yang mereka terima adalah lebih teruk dari kita di mana mereka disoal pelbagai soalan dan mengambil masa yang lama di setiap kaunter.

Apa yang dapat diperhatikan dan boleh dikatakan negara ini adalah negara yang paling selamat di dalam dunia kerana di setiap pelosok negara ini ia dipasang  dengan alat cctv.Satu lagi yang agak pelik adalah setiap yahudi  apabila kita bertutur dengan mereka, mereka tidak akan memandang mata kita.Kebenaran ini terbukti bermula dari kaunter imigresen lagi.Walaupun demikian, tanpa disedari, rupa-rupanya di Palestin terdapat hospital yang mempunyai pakar bedah plastik yang terbaik.Semasa menunggu jemaah lain menyelesaikan urusan imigresen dan barang-barang  saya telah berbual dengan seorang warga Jordan yang membawa anaknya ke Palestin untuk menjalani pembedahan plastik ke atas wajah anaknya yang berumur 5 tahun yang jelas kelihataan cacat akibat kemalangan jalanraya semasa anaknya berumur 2 tahun. Beliau terpaksa menunggu beberapa jam untuk kereta suaminya dibenarkan dibawa masuk ke Palestin.Menurut ibu kanak-kanak ini, di sini pakar plastiknya adalah yang terbaik di dunia.

Tambang yang perlu dibayar untuk memasukki Palestin dan tempoh masa dibenarkan berada di Palestin.

Insyallah akan bersambung………….

DISEDIAKAN OLEH :

FAZILLAH BEGUM BINTI ABDUL GHANI

TIMBALAN PENDAKWARAYA SELANGOR.

28 FEBRUARI  2014 M / 28 RABIULAKHIR  1435 H

You can skip to the end and leave a response. Pinging is currently not allowed.

Leave a Reply


Powered by WordPress and WordPress Themes, thanks to Live Jasmin

Videos, Slideshows and Podcasts by Cincopa Wordpress Plugin