PALESTIN : KURINDUI BARAKAHMU – Bahagian 7

Number of View: 6587

7. ISLAM DAN TASIK GALILEE

Tasik Galilee merupakan  sebuah tasik yang banyak meninggalkan kenangan bagi kehidupan Nabi Isa a.s.Penduduk tempatan memanggilnya Sea of Galilee kerana keluasannya menyerupai sebuah laut. Di dalam bahasa Arab ia disebut sebagai Buhairah al-Jalil. Orang Yahudi pula memanggilnya dengan nama Kinnereth bermaksud “Kinnar Dawood” iaitu harp of David sempena nama alat muzik Nabi Daud a.s. Ini kerana, bentuk tasik ini jika dilihat dari atas bukit Golan atau dari udara ia seolah-olah sebuah alat muzik.Nama lainnya adalah Laut Galilea, Buhairah- al- Jalil,Sungai Tabrah dan Tasik Tiberias.

Tasik Galilee merupakan tasik air tawar terbesar di Israel dan terendah di dunia dengan keluasan sekitar 53 kilometer persegi dan mempunyai kedalaman lebih dari 50 meter. Tasik ini terletak di tanah rendah sedalam 220 meter di bawah paras laut. Di belakang tasik ini ialah bukit Golan, tempat pertempuran antara tentera Islam Syria dengan tentera Yahudi di dalam peperangan tahun 1967.

Perjalanan kami ke Nazareth akan melalui Tel Aviv dan Jafaa, dua bandar tepi laut yang saling bersebelahan.Bandar Jafaa berumur 4000 tahun manakala Tel Aviv  sebuah bandar baru. Jaraknya dari Jerusalem adalah lebih kurang 60 km. Dari Jafaa kami ke Haifa sejauh 50 KM. Haifa pula bandar tepi laut dan pergunungan.Dari Haifa, kami akan terus ke Nazareth.Perkataan Nasrani sebenarnya dirujuk kepada kota An-Nasirah atau Nazareth.Ia merupakan kota di mana Nabi Isa a.s. dibesarkan.Orang Kristian menggelar Nabi Isa a.s.dengan nama Jesus of Nazareth. Ia perkampungan Nabi Isa a.s.Nazareth merupakan penempatan Arab terbesar di Israel  untuk yang beragama Islam mahupun Kristian dengan kedudukan berada di selatan Pergunungan Lubnan(Bukit Golan) dan berdekatandengan Gunung Tabor.

Ia sejauh 35 km dari Haifa.Keseluruhan jarak perjalanan dari Jerusalem ke Tasik Galilee adalah lebih kurang 400 kilometer pergi dan balik melaui bandar-bandar yang dinyatakan itu.Kami akan menikmati makan tengahari dengan ikan talapia yang terkenal di tasik ini.Ikan talapia merupakan salah satu 27 jenis ikan yang banyak terdapat di tasik ini.Sepanjang perjalanan kami pergi dan balik tidak terdapat setitis pun salji yang mencair sehinggalah kami memasukki Jerusalem semula.Memandangkan bilik-bilik tandas di Palestin tidak  mempunyai paip dan masjid-masjidnya tidak mempunyai kemudahan untuk wanita berwudhu seperti di negara kita,kami dinasihatkan sentiasa mebawa botol mineral berisi air untuk kemudahan ke tandas dan juga untuk berwudhu.Kami juga sentiasa dinasihatkan sebaik mungkin agar sentiasa dalam keadaan berwudhu agar mudah untuk bersolat semasa persinggahan dalam perjalanan untuk solat dhuha dan solat waktu.


Ikan Talapia dari Tasik Galilee

Setelah makan tengah hari, kami bersolat jamak asar dan zohor berjemaah di Masjid Wadi Hammam yang berada di atas bukit iaitu  di satu lembah di celah Gunung Ardabil yang banyak burung merpati.Dari kejauhan kita boleh lihat banyak sarang-sarang burung merpati dengan burung-burungnya berterbangan. Terdapat kubur-kubur lama di bukit sekitar Wadi Hammam ini. Kami mula melalui jalan yang berliku untuk turun dari Nazareth. Hari ini kami akan melawat perkampungan Nabi Isa di Nazareth. Di dalam bahasa Arabnya ialah Nasirah. Kami melalui kota Jurusalem dan mulai turun ke bawah. Kota Jurusalem dan Bethlehem terletak di atas bukit. Ia setinggi 850 meter dari paras laut. Untuk keluar dari bandar, kami melalui Ge’ula. Ia satu kawasan Yahudi Ortodox. Pada petang Jumaat dan seluruh hari Sabtu, jalan ini akan ditutup. Ini kerana hari sabtu bagi orang Yahudi adalah hari rehat mereka.Mereka tidak dibenarkan untk melakukan apa-apa tugasan pun.Jika ada sesiapa yang melalui Ge’ula pada petang Jumaat dan hari Sabtu, kereta mereka akan dibaling dengan telur, batu ataupun tomato.

Ge’ula merupakan kawasan Yahudi Ortodox. Di sini, bas memisahkan antara lelaki dengan perempuan. Hari Sabtu tidak ada yang memandu kereta. Semuanya berjalan kaki. Walaupun begitu, orang di sini menguasai 70% hingga 80% perdagangan berlian di dunia. Kebanyakan pakar berlian di dunia ada di sini. Mereka pakar di dalam memotong dan mengilap permata berlian.

Di kanan kiri, penuh dengan pangsapuri berwarna putih. Pokok-pokok bunga menghiasi jalan. Kami melalui bandar Ka’naa, sebuah bandar yang menjadi kepercayaan orang Kristian bahawa Nabi Isa a.s. menunjukkan mukjizatnya iaitu menukarkan 6 takar air putih menjadi arak pada hari perkahwinan ibunya Maryam.Bagi orang Kristian Protestan, mereka tidak menerima bahawa Isa a.s menukarkan air itu menjadi arak. Ini kerana arak merupakan minuman terlarang tetapi baginda menukarkannya menjadi jus anggur. Akibat dari sejarah tersebut dan kawasan  sekitar yang sungguh subur dikatakan arak jenis wain yang terbaik  malah peralatan perkahwinan terbaik juga terdapat di Bandar ini. Bagi kita orang Islam, mustahil para Nabi melakukan perkara terlarang dengan mukjizatnya.Kami meninggalkan bandar Ka’naa melalui kawasan pertanian yang subur. Di kanan kiri kami terdapat ladang-ladang pokok zaitun. Terdapat juga ladang gandum. Perjalanan dari Nazareth ke Galilee sejauh 35 km.


Bandar Ka’naa.

Selepas itu kami meneruskan perjalanan melalui kampung Majdal, iaitu tempat lahir kawan Nabi Isa a.s. Maryam Majdalina atau Merry Magdaline. Ada golongan Kristian yang mempercayai bahawa Nabi Isa a.s. hanya Nabi dengan keyakinan bahawa Maryam Magdalina adalah isterinya. Kita boleh lihat golongan ini seperti di dalam filem “Da Vinci Code”. Perkahwinan Nabi Isa a.s. hanyalah perkhabaran ahli Kitab. Di dalam Islam tidak dinyatakan kisah ini. Yang ada merupakan Nabi Isa a.s. akan diturunkan kembali ke dunia. Kemudian selepas itu baru baginda akan berkahwin.

Di Bandar Nazareth terdapat tulisan ini menunjukkan ia adalah penempatan Islam.

Sungai Jordan pula ialah tempat suci bagi orang Kristian. Airnya ibarat air zam-zam bagi mereka. Aliran air sungai Jordan ini akan berakhir di Laut Mati iaitu tempat yang paling rendah di muka bumi ini.  Di kiri sungai Jordan ialah Tebing Timur iaitu wilayah di dalam negara Jordan manakala di sebelah kanannya pula Tebing Barat iaitu di kawasan Jajahan Israel. Tasik Galilee di kelilingi dengan dengan bukit bukau dengan yang terdekat adalah gunung Arabil.Alirannya bermula dari 4 buah sungai iaitu dari sungai Hasbani Lebanon, dari Banias di pergunungan Hermon, dari ad-Dan juga di pergunungan Hermon dan Iyon di Lubnan.Ia mengalir sepanjang 251 km.

Tempat sebenar Nabi Isa a.s. mandi tidak seorang pun tahu.Ia merupakan tempat paling penting lagi suci kepada penganut agama Kristian kerana di sini mereka membaptiskan anak-anak mereka. Menurut sejarah Nabi Yahya a.s. juga membaptiskan Nabi Isa a.s. di sungai ini.

Hanya satu tempat dibangunkan di aliran keluar dari Tasik Galilee. Paderi-paderi besar dari seluruh dunia akan datang untuk mandi di sini. Terdapat puluhan catatan batu dari pelbagai bahasa mengenai sungai ini termasuk bahasa Indonesia.Syukur ke hadzrat Illahi kerana sehingga hari ini Bahasa Melayu tidak ada di sini dan didoakan semuga ia akan terus begitu sehingga kiamat.

Kawasan ini dikawal oleh Israel. Bagi orang Israel, Nabi Isa a.s. hanyalah seorang budak nakal yang mempunyai skandal dengan Maryam Majdal (Marry Magdaline). Skandal antara Nabi Isa dengan Marray Magdaline dikuatkan dengan hujjah bahawa, antara yang menurunkan mayat Isa ialah Marry Magdaline. Dia dibunuh di Jerusalem dan mayatnya dibuang oleh tentera Rom di tempat yang tidak diketahui.Memang orang Yahudi tidak pernah menghormati Nabi mereka. Berapa banyak para Nabi yang dibunuh tanpa sebab oleh mereka.Bagi orang Islam, Nabi Isa tidak di salib. Baginda diangkat ke langit dan akan diturunkan kembali sebelum hari kiamat nanti.

Empangan ke Tasik Galilee

Setelah solat, kami meneruskan perjalanan  menuju ke Tasik Galilee untuk menyelusuri tasik dengan menaikki bot yang semacam bot yang digunakan oleh Nabi Isa a.s. semasa mengembangkan ajaran Allah s.w.t. Kami sampai di Yigal Allon Centre, tempat perkhidmatan bot besar untuk berlayar di sekitar tasik Galilee. Tasik ini agak besar.Kawasan ini seperti kompleks maritim. Ada pameran bot yang berumur hampir 2000 tahun yang dijumpai. Sea Of Galilee sebuah tasik besar yang mengalirkan airnya ke sungai Jordan. Airnya bersih dan menajdi sumber minuman di sini. Terdapat 27 jenis ikan di sini dan yang paling popular ialah ikan Talapia. Orang di sini pernah menemukan sebuah kapal yang berumur 2000 tahun di sungai ini. Ia kekal kerana disaluti oleh lumpur. Kapal ini ada dipamerkan di sini. Bot ini milik nelayan di sini satu ketika dahulu. Terdapat juga kedai-kedai menjual buku dan cenderamata. Ada kedai minuman dan juga ruangan muzium sejarah pembinaan negara Israel.

Di sini tempat Nabi Isa a.s berdakwah, mengajak orang ke arah tauhid.Di tasik inilah
orang Yahudi yang engkar disumpah menjadi monyet kerana menangkap ikan pada hari sabtu.Tasik ini memang banyak ikan. Sampai sekarang ia masih lagi menjadi lubuk ikan bagi penduduk di sini.Kisah ini terdapat dalam Al-Quran surah Al-A’raf ayat 163 -166 seperti berikut :

163: Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka.Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.

164: Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa.

165: Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).

166: Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil peduli) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

Begitulah balasan orang yang ingkar pada perintah Allah. Mereka telah ditukar menjadi kera.
Dari kejauhan kelihatan Bukit Golan, kawasan yang berjaya ditawan Israel pada peperangan tahun 1967 menentang tentera Syria. Burung-burung tasik terbang sambil sekali-sekala menjunam ke dalam air, kemudian timbul dengan ikan-ikan kecil di paruhnya.Tasik ini sungguh damai dan nyaman dengan pemandangan matahari  akan terbenam.

Kami menaiki bot menyelusuri Tasik Galilee.Di sebalik tasik besar ini ialah bukit Golan, iaitu satu pergunungan yang diambil oleh Israel dari Syria pada peperangan 6 hari 1967.Apa yang menarik pada Bukit Golan ini ialah kisah bagaimana Israel menyerapkan pengintipnya ke dalam negara Syria. Pengintip itu bernama Amin Thabit atau Elly Kohen. Selama 20 tahun Elly bersama tentera Syria hingga menjadi orang kepercayaan di dalamnya.Dia mencadangkan agar penempatan tentera Syria di Bukit Golan ditanam dengan pokok bernama Yukeliftes. Peranan Elly akhirnya dijejaki oleh perisik dari Mesir. Akhirnya dia dihukum gantung di Syria. Pada ketika Israel menjalankan operasi menawan Bukit Golan, mereka mudah menjejaki kawasan ketenteraan Syria kerana terdapatnya pokok Yukeliftes yang di tanam di setiap kawasan ketenteraan. Hanya 6 hari sahaja, seluruh Bukit Golan dapat ditawannya. Israel cuba untuk mendapatkan badan Elly kembali dari Syria.

Banyak kisah-kisah sejarah khususnya sejarah Nabi-Nabi yang dicatatkan berlaku di sini dan tidak kurang juga kisah-kisah yang dikaitkan dengan kisah akhir zaman sebelum terjadinya kiamat. Laut air tawar ini sangat penting dan strategik serta seringkali menjadi punca kepada konflik kerana ianya membekalkan sumber air tawar untuk minuman dan pengairan bagi negara-negara sekitar khususnya Israel, Lebanon dan Jordan.Ia juga merupakan salah satu punca kepada Sungai Jordan yang hulunya terletak  di utara Israel dekat Kibbutz Sede Nehemya dan mengalir ke hilir di Laut Galilee terus ke Laut Mati. Sungai sepanjang 251 kilometer ini menjadi sebahagian daripada sempadan antara Israel dan negara Jordan. Menurut laporan, Laut Mati dikatakan menjadi semakin masin akibat daripada   paras air lautnya yang semakin merosot. Laut Mati dilaporkan telah merosot lebih 20 meter semenjak 40 tahun lepas. Kajian yang dijalankan oleh Universiti Jordan menunjukkan bahawa paras air laut tersebut  merosot sebanyak 1 meter setiap tahun dan semakin meningkat semenjak Israel menguasai sumber yang menjadi punca kepada Sungai Jordan selepas penjajahan Israel ke atas Tebing Barat selepas Perang Arab-Israel pada tahun 1967. Punca kepada kepada fenomena tersebut menurut laporan itu ialah akibat daripada kegiatan Israel selama kira-kira 30 tahun, yang melencongkan kebanyakan daripada anak-anak sungai yang mengalir ke Sungai Jordan dan mengawal  air yang mengalir dari Laut Galilee yang mengakibatkan paras air sungai teruk terjejas. Selain itu, Israel juga telah mengepam air daripada Laut Galilee bagi tujuan pengairan di Negev dan kawasan-kawasan lain di Israel.

Sebenarnya pengeringan air Laut Galilee ini telahpun diperkatakan sejak lebih 1431 tahun yang lalu. Terdapat satu hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang mengaitkan peristiwa pengeringan air laut tersebut dengan peristiwa kemunculan dajjal. Selain daripada itu terdapat juga satu lagi hadis lain pula yang mengaitkan Laut Galilee ini dengan kemunculan Yakjuj dan Makjuj yang berlaku sesudah Dajjal berjaya dihapuskan oleh Nabi Isa a.s. Berikut adalah catatan berkenaan dengan peristiwa yang bakal berlaku mengenai dajjal dan yakjuj dan makjuj.

Kisah Dajjal.

“Telah disampaikan kepada kami lbn Buraidah dan Amir bin Syurahbil asy-Sya’bi, kabilah Hamdan bahawa dia pernah bertanya kepada Fathimah binti Qais, saudara perempuan adh-Dhahhak bin Qais dan termasuk kelompok perempuan pada Hijrah pertama.

Amir berkata,”Sampaikanlah kepadaku suatu hadis yang engkau dengar dari Rasulullah saw yang tidak engkau sandarkan kepada siapapun selain beliau.”Fathimah berkata,”Jika engkau mahu niscaya aku Iakukan.Amir berkata,”Tentu, sampaikanlah kepadaku.” Fathimah berkata,”Aku menikahi lbn al-Mughirah. Dia termasuk pemuda plihan kaum Quraisy ketika itu. LaIu dia terkena musibah pada permulaan jihad bersama Rasulullah saw. Ketika aku telah menjadi janda, aku dilamar oleh Abdur Rahman bin ‘Auf untuk salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. Sementara itu, Rasulullah s.a.w.  mela­marku untuk maulanya, Usamah bin Zaid. Aku pernah diberitahu bahawa Rasulullah s.a.w.  bersabda,”Barangsiapa mencintaiku, maka hendaklah dia mencintai Usamah.Maka ketika Rasulullah saw bercakap kepadaku, aku berkata,’Urusanku ada di tangan Anda. Nikahkanlah aku kepada siapa saja yang Anda suka.’Lalu Rasulullah saw bersabda. ‘Pindahlah kamu ke Ummu Syarik. ‘Ummu Syarik adalah perempuan kaya dan kalangan Ansar yang telah banyak membrikan sumbangan di jalan Allah dan disinggahi banyak tamu. Aku berkata, Aku akan melakukannya. Maka beliau bersabda.’Jangan engkau lakukan. Sesungguhnya Ummu Syarik adalah seorang wanita yang banyak tamunya. Aku tidak suka kain tudungmu jatuh atau baju tersingkap dan kedua betismu sehingga kaum itu akan melihat auratmu. Tetapi, pindahlah ke putra pamanmu, ‘Abdullah bin Amr bin Ummi Maktum, seorang Ielaki dani Bani Fihr’, Fathimah pun pindah kepadanya.

Ketika masa iddahku berakhir, aku mendengar seruan seorang sahabat Rasulullah saw.’Marilah solah berjamaah” Maka aku pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah saw. pada barisan wanita yang berada tepat di belakang kaum itu. Setelah selesai solat, Rasulullah saw, duduk di mimbar. Sambil tersenyum beliau bersabda.’Hendaklah setiap orang tinggal di tempat salatnya.’Selanjutnya beliau bersabda,’ Apakah kamu semua mengetahui sebab aku mengumpulkan kamu? Mereka menjawab,’Hanya Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. ’Beliau bersabda,’Sesungguhnya aku, demi Allah tidak mengumpulkan kamu semua bukan kerana ada pengharapan ataupun ketakutan. Melainkan aku mengumpulkan kamu adalah kerana Tamim ad-Dari, yang dahulunya seorang Nasrani, datang untuk berbai’at masuk Islam. Dia menceritakan kepadaku seperti apa yang telah aku sampaikan kepada kamu tentang Dajjal. Dia menceritakan kepadaku seperti apa yang telah aku sampaikan kepada kamu semua tentang Dajjal.

Dia menceritakan kepadaku bahawa dia mengemudi sebuah perahu bersama 30 orang dari Lakhm dan Judzam. Mereka dipermainkan ombak selama sebulan di laut. Lalu mereka berlabuh menuju suatu pulau di laut itu sampai terbenam matahari. Mereka duduk­duduk di pantai dekat perahu. LaIu mereka naik ke pulau itu. Maka mereka didatangi seekor binatang yang banyak bulunya yang mereka tidak dapat membezakan mana bahagian depan dan mana bahagian belakangnya.

Mereka berkata,“Celaka kau, apakah kamu ini ?Binatang itu menjawab:‘Aku adalah mata-mata.’Mereka bertanya,‘Mata-mata apa?”Dia menjawab,:‘Wahai kaum, pergilah kepada orang yang berada di dalam gua, kenana dia merindukan berita dan kamu’

Tamim ad-Dari berkata, Ketika binatang itu menyebutkan kepada kami seseorang, kami meninggalkannya kerana mungkin dia adalah syaitan perempuan.

Selanjutnya dia berkata, lalu kami berangkat segera hingga mema­suki gua. Tiba-tiba di dalamnya ada seorang manusia yang paling besar badannya dan diikat dengan rantai yang kuat dengan  kedua tangan dan lehernya disatukan dan diikat dengan besi di antara hingga kedua mata kakinya. Kami katakan,’Celaka kamu, makhluk apakah kamu ini? Dia menjawab,”kamu telah mengetahui perihalku, kini beritahukan kepadaku, siapakah kamu ini ?

Mereka menjawab,”Kami adalah manusia dari Arab. Kami menaiki perahu lalu dihentam gelombang laut besar dan ombak mempermainkan kami selama sebulan. Kemudian kami berlabuh di pulaumu in Kami didatangi seekor binatang yang berbulu lebat sehingga tidak diketahui mana bahagian muka dan mana bahagian belakangnya. Kami bertanya,”Celaka kamu, binatang apa kamu ini?””Saya adalah mata-mata.” “Mata-mata apa?” ‘Pergilah kepada orang yang berada di gua ini kerana dia sangat merindukan berita dari kamu.”

Maka kami pun segera mendapatkan kamu. Kami takut pada binatang itu dan kami tidak tenang jangan-jangan ia adalah syaitan betina. Orang itu berkata,”beritahukan kepadaku tentang kurma Baisan!”(Baisan ialah negeri yang terkenal sejak dahulu kala. Negeri ini berada dekat Syam Iama dan merupakan salah satu kota di Palestin.)

Tentang apanya yang engkau nak tanyakan?”“Aku bertanya kepada kamu apakah kurma berbuah?”“Sesungguhnya pohon kurma itu hampir tidak akan berbuah.’Lalu dia berkata lagi.

“Beritahukan kepadaku tentang Tasek Thabariyyah!”(Tasik Thabariyyah adalah tasik besar. Panjangnya adalah sepuluh batu dan lebarnya enam batu. Tasik itu dalam dan dapat dilayari kapal. Tetapi airnya semakin berkurangan. lkannya ditangkap dan airnya manis tawar. Jarak antara Tasik Thabariyyah dengan Bait al-Muqaddis lebih kurang 100 batu.)

“Tentang apanya yang engkau nak tanyakan? “Apakah tasik itu masih berair ? “Ya tasik itu masih banyak airnya.””Sesungguhnya air tasik itu hampir habis.”Dia berkata,“beritahukan kepadaku tentang mata air Zughar.”(Mata air Zughar adalah nama seorang perempuan yang dinisbatkan pada mata air ini.)

“Mengenai apanya yang nak engkau tanyakan?” “Apakah mata air itu masih memancarkan air? Dan apakah penduduknya masih bercucuk tanam dan mata air itu?”

“Ya, mata air itu masih memancarkan banyak air dan penduduknya bercucuk tanam dari air tersebut.” “Terangkan kepadaku tentang nabi yang diutus kepada orang-orang buta huruf, apa yang dilakukannya?” “Dia telah keluar dari Mekah menuju Yathsrib.

“Apakah orang-orang Arab memenanginya?”.Ya “Bagaimana caranya dia memperlakukan mereka7’ “Dia telah menundukkan orang-orang Arab terdekatnya, sehingga mereka mengikutinya.”

“Apakah demikian?” “Ya”,‘lebih baik bagi mereka untuk mengikutnya. Aku akan memberitahukan kepada kamu mengenai diriku. Aku ini adalah aI-Masih. Aku hampir akan diizinkan keluar, maka aku akan keluar. Lalu aku akan berjalan di muka bumi. Aku tidak melalui sesuatu kampung melainkan aku tinggali selama 40 malam kecuali kola Mekah dan Thaibah (Madinah). Kedua kota itu diharamkan atasku. Setiap aku akan memasuki salah satu kota itu, aku dihadang oleh malaikat yang memegang pedang untuk memenggalku. Di setiap celah kedua kota itu dijaga oleh para malaikat.”

Fathimah berkata, “Sambil memukulkan tongkatnya pada mimbar, Rasulullah saw bersabda.”lni adalah Thaibah, yakni kota Madinah. lngatlah, apakah hal itu telah aku sampaikan kepada kamu?”Orang ramai menjawab :”Benar.”

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,”Sungguh cerita Tamim itu sesuai dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu, juga mengenai kota Mekah dan Madinah. Ketahuilah sesungguhnya Dajjal itu berada di Iaut Syam atau di Iaut Yaman, bukan dari arah timur, bukan dari arah timur, bukan dari arah timur.” Baginda mengisyaratkan dengan tangannya ke arah timur.”Selanjutnya Fathimah berkata,”Maka aku menghafalkan hadis ini dari Rasulullah s.a.w.”

Kemudian Tamim ad-Dari pergi bersama kawan-kawannya dan tidak kembali lagi ke pulau itu. Kalaupun mereka berflkir untuk kembali ke pulau itu, mereka tidak akan dapat sampai ke pulau itu, walaupun mereka mempunyai pengalaman belayar. Sebab setelah peristiwa ini pulau tersebut menjadi jauh untuk sampai ke situ. Ombak-ombaknya digerakkan dengan kekuasaan Allah swt. Seakan-­akan ombak itu sendiri adalah perahu yang bergerak di lautan. Allah menetapkan bahawa tidak ada seorang pun yang datang ke pulau itu setelah Dajjal ada di dalamnya.

Gambar yang dirakamkan patung Nabi Khidir a.s.menurut ajaran Kristian membunuh Dajjal di Gereja Nativity di Bethlehem.

Doa Menghindari Fitnah Dajjal

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Allah ta’aala tidak menurunkan ke muka bumi, sejak penciptaan Adam ’alihis-salaam hingga hari Kiamat, fitnah yang lebih dahsyat dari fitnah Dajjal.” (Hadis Riwayat Thabrani 1672)

Seterusnya Rasulullah s.a.w.  menganjurkan kepada kita supaya berdoa bagi menghindarinya:

Dari Abu Hurairah RA ia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Bila kalian membaca tasyahud terakhir maka hendaknya berlindung kepada Allah ta’aala dari empat perkara, “Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari (1) azab jahannam dan (2) azab kubur dan (3) fitnah kehidupan serta kematian dan dari (4) jahatnya fitnah Al-Masih Ad-Dajjal” (Hadis Riwayat Muslim 923)

“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari siksa neraka Jahanam. Aku berlindung kepadaMu dari siksa kubur. Aku berlindung kepadaMu dari fitnah Dajjal yang pembohong. Aku berlindung kepadaMu dari fitnah hidup dan fitnah mati. Aku berlindung kepadaMu dari banyaknya dosa dan hutang. Aku berlindung kepadaMu dari kejelekan fitnah kaya dan kejelekan fitnah fakir. Aku berlindung kepadaMu dari kejelekan pendengaran, penglihatan, lisan dan hatiku. Aku berlindung kepadaMu dari dikembalikan kepada umur yang terlalu tua. Dan aku berlindung kepadaMu dari mati dalam keadaan ingkar kepada agamaMu.”[di petik dari Laut Galilee,Dajjal dan kiamat –tongkat Ali]

“Daripada Abu al-Darda sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda – Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-kahfi, pasti terlindung daripada dajjal.” – (HR Muslim 809)

“Daripada Ali, yang meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w baginda bersabda – Barangsiapa membaca surah al-kahfi pada hari jumaat, nescaya dirinya terpelihara hingga lapan hari, daripada segala fitnah yang melanda, dan jika keluar dajjal sekalipun, dia akan terpelihara daripadanya (Al-Dhurr al Manthur oleh al-Sayuti.” – 5:355.

Kemunculan Yakjuj dan Makjuj.

Berikut pula kisah Yakjuj dan Makjuj dengan Laut Galilee seperti yang direkodkan di dalam Sahih Muslim, hadis an-Nawwas bin Sam’an dengan  lafaz yang panjang, menegaskan:

“Yakjuj dan Makjuj, ketika Isa a.s. berjaya membunuh Dajjal, Allah berkata kepadanya, ‘ Aku mengeluarkan hamba-hamba-Ku, di mana tidak ada kekuatan pun yang sanggup membunuh mereka (Yakjuj dan Makjuj). Oleh itu berlindunglah bersama-sama hamba-Ku di Gunung Thur’. Mereka akan keluar, lantas sekelompok pertama akan meminum air yang ada di Tasik Tiberia. Kemudian, kelompok terakhir daripada mereka yang melewati tasik tersebut akan berkata, ‘dahulu, di sini ada mata air air’. Selepas itu, mereka melepaskan anak-anak panah mereka ke langit, lantas anak-anak panah tersebut kembali kepada mereka dalam keadaan berlumuran darah. Mereka pun berkata: “Kita telah menguasai semua penduduk  bumi dan mengalahkan penduduk langit”.

Sesudah Yakjuj dan Makjuj ini keluar dan melakukan banyak kerosakan serta kemusnahan di muka bumi , lalu Nabi Isa berserta pengikutnya berdoa lepada Allah. Allah pun mengirimkan ulat-ulat ke leher mereka sehingga semua Yakjuj dan Makjuj tersebut binasa.

Begitulah kisah tentang Laut Galilee  yang sebenarnya sangat penting untuk dihayati.Apa yang bakal berlaku ke atas laut tersebut sudah ditakdirkan oleh Ilahi dan tidak mungkin kita sebagai manusia mampu mengubahnya.

Semasa perjalanan pulang, kami singgah di tempat rehat seperti R & R yang terdapat di negara kita.Yang hebatnya tentang R & R mereka adalah pada setiap perhentian akan ditempatkan sebuah kereta kebal melambangkan kebanggaan mereka menawan Palestin pada 15 Mei 1948 disertai dengan sebuah tabung meminta sumbangan dari orang ramai.


Gambar kereta kebal dan tabung sumbangan di R & R.

Akan bersambung Insyallah.

DISEDIAKAN OLEH :

FAZILLAH BEGUM BINTI ABDUL GHANI

TIMBALAN PENDAKWA RAYA

SELANGOR

BERTARIKH :07 MAC 2014 M / 09 JAMADIL AWWAL 1435H

You can skip to the end and leave a response. Pinging is currently not allowed.

Leave a Reply


Powered by WordPress and WordPress Themes, thanks to Live Jasmin

Videos, Slideshows and Podcasts by Cincopa Wordpress Plugin