Kepentingan Penghujahan Di Dalam Perbicaraan Kes-Kes Di Mahkamah

Number of View: 2185

Penghujahan merupakan suatu rumusan atau penggulungan fakta dan keterangan yang menyokong kes pihak-pihak terlibat di dalam sesuatu perbicaraan. Penghujahan berperanan penting dalam memberi gambaran yang jelas tentang sesuatu teori pendakwaan atau pembelaan. Di dalam perbicaraan kes di mahkamah, penghujahan dibuat secara berperingkat. Lima peringkat utama penghujahan adalah:-

1. Penghujahan sebelum bicara
2. Penghujahan semasa perbicaraan
3. Penghujahan di akhir kes pendakwaan
4. Penghujahan di akhir kes pembelaan
5. Penghujahan sebelum hukuman

1. Penghujahan sebelum bicara
Penghujahan sebelum perbicaraan biasanya dilakukan dalam senario-senario berikut:

1.1 Ketika membuat bantahan awal (preliminary objection):
Contoh- contoh penghujahan yang dibuat dalam bantahan awal:

  • Apabila pihak pendakwa membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh
  • Apabila pihak pendakwa atau peguambela membantah bahawa mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa tempatan/bicara
  • Apabila peguambela membantah locus standi pegawai pendakwa seperti mana yang berlaku di dalam kes Repco Holdings Bhd. V PP [1997] 2 MLJ 681.

1.2 Ketika membuat hujahan pembukaan (opening address)

Seksyen 179 Kanun Tatacara Jenayah
(Akta 593) telah menetapkan supaya pihak pendakwa memulakan kes pendakwaan dengan membuat hujahan pembukaan bagi kes-kes perbicaraan di Mahkamah Tinggi. Di dalam penghujahan pembukaan, pihak pendakwa perlu menyatakan secara ringkas sifat pertuduhan dan bukti- bukti yang akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan dalam membuktikan pertuduhan tersebut.

2. Penghujahan semasa perbicaraan

Penghujahan semasa perbicaraan biasanya dilakukan di dalam senario seperti yang berikut:

2.1. Apabila membuat bantahan semasa saksi memberi keterangan.
Penghujahan dibuat oleh pihak pendakwa atau peguam untuk membantah soalan- soalan memimpin atau keterangan dengar cakap (hearsay).

2.2. Semasa menerima pakai eksibit dan percakapan beramaran
Di dalam kes Lee Weng Sang v PP (1978) 1 MLJ 168, Mahkamah telah memutuskan bahawa adalah menjadi tugas pihak pembelaan untuk berhujah bagi membantah penerimaan sebarang percakapan beramaran yang ingin dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Keputusan Mahkamah dalam kes ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa hujahan semasa perbicaraan dijalankan adalah perlu untuk membantu mana-mana pihak dalam mengetengahkan pendapat mereka dalam hal yang berkaitan undang-undang yang sepatutnya menjadi landasan bagi sesebuah perbicaraan.

2.3 Semasa membuat permohonan untuk memanggil semula saksi.

Seksyen 425 Kanun Tatacara Jenayah membenarkan permohonan di buat kepada mahkamah oleh mana-mana pihak untuk memanggil semula dan menjalankan pemeriksaan semula ke atas saksi- saksi yang telah memberi keterangan.

3. Penghujahan di akhir kes pendakwaan
Penghujahan di akhir kes pendakwaan adalah penting untuk menerangkan atau merumuskan kepada mahkamah bahawa kes “prima facie” telah berjaya dibuktikan oleh pendakwaan. Pihak pendakwa mempunyai peluang yang baik pada peringkat ini untuk mengenal pasti keterangan-keterangan saksi dan dokumen yang menyokong intipati pertuduhan dalam kes yang dibicarakan.

Penghujahan pada peringkat ini perlu disokong oleh kes-kes otoriti dan peruntukan undang-undang yang relevan bagi menguatkan lagi kes pendakwaan. Penghujahan pada peringkat ini juga memberi peluang kepada pendakwaan untuk menarik perhatian mahkamah kepada teori pendakwaan dalam kes yang dibicarakan berdasarkan kepada keterangan yang telah dibentangkan. Walau bagaimanapun, kes pendakwaan tidak akan terjejas sekiranya pihak pendakwa tidak membuat sebarang penghujahan pada peringkat ini seperti yang dapat dilihat dalam kes Pavone v PP [1986] 1 MLJ 72 di mana dalam kes ini, peguambela tidak membuat sebarang penghujahan di akhir kes pendakwaan, namun tertuduh tetap dipanggil untuk membela diri.

4. Penghujahan di akhir kes pembelaan
Penghujahan di peringkat akhir kes pembelaan adalah perlu untuk pendakwaan menyarankan kepada Mahkamah bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melepasi keraguan yang munasabah dan seharusnya tertuduh disabit di atas pertuduhan. Seksyen 174 (iii) Kanun Tatacara Jenayah juga menjelaskan bahawa pendakwaan berhak menjawab berkenaan keseluruhan kes apabila orang yang dituduh telah memberi keterangan.

Cara yang berkesan dalam membuat hujahan pada peringkat ini adalah dengan membandingkan kes pendakwaan dengan kes pembelaan berdasarkan keterangan yang telah dibentangkan. Mahkamah perlu diyakinkan bahawa pembelaan telah gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap kes pendakwaan dan teori pendakwaan dalam kes tersebut adalah benar dan sahih.

Kepentingan penghujahan di akhir kes pembelaan oleh pendakwaan atau pembelaan dapat dilihat menerusi keputusan Mahkamah dalam kes Mahinder Singh vs PP (1941) MLJ 230. Di dalam kes ini, Terrell Ag. C.J berpendapat bahawa tindakan Majistret yang tidak memberi peluang kepada peguambela untuk berhujah di akhir kes pembelaan adalah satu salah aturan yang serius yang boleh menyebabkan sebarang sabitan diketepikan.

5. Penghujahan sebelum hukuman
Penghujahan di peringkat hukuman membolehkan pendakwaan menekankan perlunya hukuman berat atau setimpal dijatuhkan oleh Mahkamah berdasarkan faktor- faktor keterlaluan (aggravating factors) yang terdapat di dalam sesebuah kes.

Faktor-faktor pemberatan untuk sesuatu hukuman boleh dihujahkan berdasarkan statistik kekerapan yang menunjukkan peningkatan kes dalam sesuatu kesalahan. Di dalam kes Lee Chow Meng (1976) 1 MLJ 287, Abdul Hamid J. bersetuju bahawa kekerapan sesuatu jenayah perlu diambil kira sebelum Mahkamah menjatuhkan hukuman. Rekod sabitan lampau tertuduh juga boleh digunakan dalam hujah pendakwaan pada peringkat ini seperti yang dapat dilihat dalam kes PP vs Jafa bin Daud (1981) 1 MLJ 315. Lain-lain faktor termasuk juga cara tertuduh melakukan jenayah tersebut di mana keganasan yang keterlaluan digunakan terhadap mangsa hingga mendatangkan kecederaan dan trauma terhadap mangsa seperti di dalam kes Hairani bin Sulong v. PP [1993] 2 CLJ 85. Pendakwaan juga dapat membantu Mahkamah dengan menghujahkan tentang hukuman bagi sesuatu kesalahan terutama mengenai penalti maksima dan minima bagi kesalahan yang dibicarakan.

Kesimpulan
Penjelasan mengenai penghujahan dan peringkat- peringkatnya seperti yang dihuraikan di atas adalah sebagai panduan dan masih boleh diperluaskan berdasarkan kepada keperluan sesebuah kes. Kes yang lebih kompleks dan rumit mungkin memerlukan pihak pendakwaan dan pembelaan berhujah bagi membantu Mahkamah membuat keputusan terutamanya apabila melibatkan isu-isu yang baru yang belum pernah dibangkitkan dalam kes-kes sebelumnya.

Seorang Timbalan Pendakwa Raya juga mestilah berhujah dengan jelas, terang dan tepat kerana cara menyampaikan penghujahan juga sedikit sebanyak dapat mempengaruhi Mahkamah dalam membuat keputusan.

 

Disediakan oleh:

Mohd. Daud bin Ismail
Timbalan Pendakwa Raya
Johor

You can leave a response, or trackback from your own site.

2 Responses to “Kepentingan Penghujahan Di Dalam Perbicaraan Kes-Kes Di Mahkamah”

  1. nagakanie says:

    harap article ini berguna pada yang memerlukannya :)

    Tuan,kindly be prepare for the next submission ye…… ;)

  2. svetlana says:

    TPR Mohd Daud, good subject highighted by you. This is in fact an important area of our daily work in court. Just another point to add, the importance of submission must be able be done spontaniously i.e orally as well as in writing.

    Lawyers are basically good at talking, thus we must at least be able to do the same if not better. Not to forget our intonation & courtesy always take us further than we expected. E.g when objecting & raising issues which need courts’ consideration, follwed by the submission ( of course with good aouthorities ). Practice makes perfect, hopefully you will continously assist me & others with input on preparation of submission. E.g recent authorities or summary of important principles discussed in certain cases. Thank you so much.

Leave a Reply


Powered by WordPress and WordPress Themes, thanks to Live Jasmin

Videos, Slideshows and Podcasts by Cincopa Wordpress Plugin