Pengenalan kepada Perundangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja di Malaysia

Number of View: 11832

Pengenalan

Keselamatan dan kesihatan pekerjaan meruapakan satu bidang yang bertujuan melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja. Keselamatan tempat kerja merupakan suatu aspek penting di dalam sesebuah organisasi syarikat. Kerajaan telah mengambil langkah-langkah perlu dengan memperkenalkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 pada 25 Februari 1994.

Antara faktor yang membawa kepada pengenalan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 adalah kerana terdapatnya banyak kelemahan di dalam Akta Kilang dan Jentera 1967 dan statistik kemalangan di tempat kerja yang tinggi. Sebagai contoh, insiden letupan kilang mercun di Sungai Buloh yang berlaku pada 1994 yang mengakibatkan berpuluh-puluh pekerja terperangkap dan terkorban di dalam insiden tersebut. Di bawah Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994, ianya merupakan salah satu tanggungjawab majikan untuk mengambil berat tentang keselamatan dan kesihatan para pekerja ketika bekerja dan juga orang lain yang turut berada di kawasan tersebut. Akta ini dikawalselia oleh Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dari Kementerian Sumber Manusia dan dibahagikan kepada limabelas b ahagian iaitu Pe rmulaan (Preliminary), Perlantikan Pegawai (Appointment of Officers), Majlis Negara bagi Keselamatan & Kesihatan (National Council for OSH) , Kewajipan Am Majikan & Orang Yang Bekerja Sendiri (General Duties of Employers and Self-Employed Persons), Kewajipan Am Perekabentuk, Pengilang & Pembekal (General Duties of Designers, Manufacturers and Suppliers), Kewajipan Am Pekerja (General Duties of Employees), Organisasi Keselamatan & Kesihatan (Safety and Health Organizations), Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan & Penyakit Pekerjaan & Siasatan (Notification of Accidents, Dangerous Occurrence, Occupational Poisoning and Occupational Diseases and Inquiry), Larangan Terhadap Penggunaan Loji atau Bahan (Prohibition Against Use of Plant or Substance), Tataamalan Industri (Industry Codes of Practice), Penguatkuasaan & Penyiasatan (Enforcement and Investigation), Liabiliti bagi Kesalahan (Liability for Offences), Rayuan (Appeals), Peraturan-peraturan (Regulations), dan Pelbagai (Miscellaneous). Artikel ini akan membincangkan tentang keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dengan merujuk kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994.

Tujuan dan Skop

Tujuan utama Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 adalah untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang bekerja, melindungi orang-orang di tempat kerja selain daripada orang-orang yang sedang bekerja, mengalakkan suatu persekitaran pekerjaan yang bersesuaian dengan fisiologi dan psikologi orang-orang yang sedang bekerja, mengadakan suatu sistem perundangan yang berasas kepada peraturan-peraturan dan tata amalan industri disamping peruntukan Akta. Secara ringkasnya, akta ini bertujuan untuk menjamin keselamatan bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga kepada orang lain yang berada di tempat kerja.Orang lain tersebut merujuk kepada tetamu atau sesiapa sahaja yang mempunyai urusan dengan organisasa berkenaan.

Manakala skop akta ini antara lain adalah merangkumi dan melindungi semua orang yang bekerja dalam semua aktiviti ekonomi termasuk perkhidmatan awam, badan berkanun dan sektor swasta kecuali mereka yang bekerja di atas kapal perdagangan, angkatan tentera. Sektor-sektor yang dirangkumi akta ini adalah sebagaimana peruntukkan dinyatakan dalam jadual pertama di bawah seksyen 1(2) iaitu pengilangan, perlombongan dan kuari, pembinaan, pertanian, perhutanan dan perikanan, kemudahan elektrik, gas, air dan perkhidmatan kebersihan, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi, perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran, kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan, perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun.

Organisasi Keselamatan dan Kesihatan Pekerja

Organisasi Keselamatan dan Kesihatan Pekerja terbahagi kepada tiga iaitu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (Department of Safety and Health), Majlis Negara (National Council), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (National Institute of Safety and Health). Di antara fungsi-fungsi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan adalah menguatkuasakan Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, menjalankan kerja galakan dan promosi, mengkaji perundangan sedia ada, memberi khidmat nasihat dan kepakaran, menjadi sekretariat kepada Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia adalah sebuah badan tertinggi yang bertanggungjawab menentukan hala tuju dan dasar negara berhubung dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia. Ia ditubuhkan oleh Menteri Sumber Manusia pada tahun 1995 mengikut kehendak Seksyen 8 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Majlis Negara ditubuhkan bertujuan sebagai usaha berterusan pihak kerajaan untuk menjadikan semua tempat kerja di Malaysia selamat di samping meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja seterusnya menjadikan amalan kerja selamat dan sihat sebagai sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia, yang mana pelaksanaannya adalah berlandaskan kepada proses tripatisme. Di antara fungsi-fungsi Majlis Negara adalah membincangkan, mengkaji dan menyiasat melalui proses tripatisme dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan kepada Menteri Sumber Manusia, berhubung dengan perkara-perkara yang selaras dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, bagi tujuan meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di semua sektor industri dan, tanpa menjejaskan keluasan makna peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, dalam hal-hal berkenaan:-

i. Perubahan yang dianggapnya wajar bagi perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan;
ii. Pemajuan pentadbiran dan penguatkuasaan perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan;
iii. Menggalakkan hubungan kerjasama perundingan antara pihak pengurusan dengan buruh tentang keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja wanita, orang-orang cacat dan golongan-golongan lain dalam masyarakat;
iv. Penubuhan kaedah-kaedah kawalan yang mencukupi bagi kimia industri di tempat kerja;
v. Penganalisian statistik mengenai kematian dan kecederaan yang berhubungan dengan pekerjaan;
vi. Pengadaan kemudahan penjagaan kesihatan di tempat kerja;
vii. Penggalakan Pembangunan dan penerimaan melaui undang-undang tataamalan industri yang berhubungan dengan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjaan;
viii. Pembangunan rancangan dan kemudahan pemulihan untuk membantu orang-orang yang cedera di tempat kerja.Ahli MNKKP adalah terdiri daripada tidak kurang daripada dua belas (12) orang dan tidak lebih daripada lima belas (15) orang yang dilantik oleh Menteri Sumber Manusia. Keanggotaan adalah terdiri daripada:-

i. tiga (3) orang daripada organisasi yang mewakili majikan
ii. tiga (3) orang daripada organisasi yang mewakili pekerja
iii. tiga (3) orang atau lebih daripada Kementerian atau Jabatan yang tanggungjawabnya adalah berhubungan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan
iv. tiga (3) orang atau lebih, yang daripadanya sekurang-kurangnya seorang wanita daripada organisasi atau badan professional yang aktiviti anggotanya adalah berhubungan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan yang pada pendapat Menteri Sumber Manusia boleh menyumbang kepada MNKKP

Seseorang atau organisasi boleh mencalonkan anggotanya untuk menganggotai Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Sekiranya memenuhi syarat-syarat berikut:-

i. seseorang yang didapati atau diisytiharkan tak sempurna akal
ii. seseorang yang bankrap
iii. seseorang yang telah disabitkan atas apa-apa kesalahan yang melibatkan fraud, kecurangan atau keburukan akhlak, atau apa-apa kesalahan yang berhubungan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di bawah mana-mana undang-undang yang dibuat dengannya.
iv. Seseorang yang tak dapat atau tak upaya melaksanakan fungsi sebagai anggota Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara

Institute ini ditubuhkan pada 24 Jun 1992 bertujuan untuk menyediakan latihan dan penyelidikan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja dalam pelbagai industri.

Keselamatan di Tempat Kerja

Tanggungjawab Majikan dan Orang yang Bekerja Sendiri

Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya. Kegagalan mematuhi peruntukan ini boleh menyebabkan majikan didenda RM 50,000 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya. Seterusnya di bawah seksyen 15(2) memperuntukkan bahawa majikan hendaklah setakat yang praktik melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang bekerja untuk mereka termasuklah mengadakan dan menyelenggara loji dan sistem kerja yang selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan, membuat perkiraan tentang langkah-langkah yang perlu diambil dalam penyimpanan, pengendalian, penyimpanan dan pengangkutan loji dan bahan, menyediakan maklumat, arahan, latihan dan pengawasan ke atas aktiviti-aktiviti berbahaya, menyelenggara tempat kerja serta menyediakan keluar dan masuk yang selamat, dan menyediakan persekitaraan tempat kerja yang bebas daripada bahaya-bahaya yang tidak diingini seperti bising, habuk dan sebagainya. Kewajipan lain majikan dan orang yang bekerja sendiri adalah menyediakan Polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, memastikan orang lain selain daripada pekerjanya tidak tertedah kepada bahaya yang dihasilkan daripada aktiviti yang dijalankan oleh beliau serta memberitahu orang lain tentang aktiviti yang dijalankannya, dan memberi maklumat kepada orang lain berkenaan dengan aspek cara pengusahaannya yang boleh menyentuh keselamatan dan kesihatan orang lain.

Perkataan yang digunakan bagi meletakkan tanggungjawab majikan dan orang yang bekerja sendiri adalah ‘setakat yang praktik’. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja tidaklah memperincikan secara menyeluruh tentang apa yang dimaksudkan dengan perkataan setakat yang praktik, apa yang dinyatakan hanyalah faktor-faktor yang perlu diambil kira dalam menentukan maksud perkataan ini. Faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut:-

  1. Teruknya bahaya atau risiko yang terlibat.
  2. Keadaan pengetahuan mengenai bahaya atau risiko tersebut dan cara mengawalnya.
  3. Kewujudan cara yang sesuai untuk menghapus atau mengurang bahaya atau risiko itu.
  4. Kos yang terlibat bagi menghapus atau mengurangkan bahaya atau risiko itu.

Faktor-faktor ini penting sebagai rujukan atau panduan majikan dan orang yang bekerja sendiri dalam mempraktikkan tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka. Dalam pada itu, faktor-faktor ini juga adalah penting bagi Mahkamah dalam membuat keputusan sama ada sesuatu tindakan majikan dan orang yang bekerja sendiri adalah boleh dipraktikkan atau tidak.

Rujukan boleh dibuat kepada beberapa kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah dalam memutuskan tanggungjawab majikan dan orang yang bekerja sendiri dengan maksud perkataan setakat yang dipraktikkan. Di dalam kes Mat Jusoh bin Daud v Syarikat Jaya Seberang Takir Sdn Bhd, plaintif telah diambil bekerja sebagai seorang penggergaji di kilang papan defenden. Beliau telah tercedera semasa bekerja dan akibatnya tiga jari kanannya putus. Kemalangan tersebut berlaku kerana majikannya tidak mengambil pekerja yang mencukupai untuk melakukan kerja tersebut dan mesin yang digunakan juga tidak mencukupi. Mahkamh telah memutuskan bahawa defenden cuai kerana tidak menyediakan jumlah pekerja yang mencukupi untuk melakukan kerja tersebut dan tidak menyediakan sistem kerja yang betul dan efektif.

Dalam kes Teong Wee Meow v Goh Poh Chan & YL, perayu yang merupakan majikan telah mengupah beberapa orang pekerja termasuk si mati. Semasa bekerja, si mati telah terhiu gas beracun dalam perigi. Sebelum insiden ini, telah terdapat pakerja yang bekerja dalam perigi tersebut yang pengsan dan hal ini adalah di dalam pengetahuan majikan. Mahkamah telah memutuskan bahawa majikan telah gagal menyediakan sistem kerja yang selamat kerana gagal bertindak setelah mengetahui tentang kewujudan gas beracun dalam perigi tersebut. Manakala, di dalam kes Lian Ann Lorry Transport & Forwarding Sdn Bhd lwn Govindasamy, Mahkamah telah memutuskkan bahawa menyediakan sistem kerja yang selamat adalah tanggungjawab majikan. Kegagalan ini melayakkan pekerja membuat tuntutan ganti rugi. Fakta kes ini adalah pekerja telah mengalami kecederaan serius akibat kemalangan semasa pemunggahan gulungan permaidani daripada lori majikannya.

Seterusnya di dalam kes Galau Anak Paeng v Lim Phek San & YL, plaintif seorang pekerja buruh telah diarahkan oleh majikannya untuk mencuci “roller” dengan kayu semasa enjin masih bergerak. Beliau telah mengalami kecederaan pada tangan. Berdaskan fakta, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa majikan mempunyai kewajipan untuk mengambil langkah yang munasabah untuk melindungi pekerja daripada semua risiko.

Dalam kes Chang Fah Lin v United Engineers (M) Sdn Bhd & YL, plaintif yang bekerja sebagai buruh binaan telah jatuh semasa bekerja memasang kepingan zink pada bumbung setinggi 25 kaki dan mengalami kecederaan parah. Majikan di dalam kes ini telah gagal menyediakan tali pinggang keselamatan untuk digunakan plaintif sebagai langkah keselamatan. Plaintif telah menuntut ganti rugi terhadap defenden pertama,kedua, dan ketiga atau mana-mana satu daripada mereka. Terdapat penafian tanggungjawab antara defenden-defenden tersebut. Defenden pertama menghujahkan bahawa oleh kerana kontrak pembinaan telah dimasuki maka defenden kedua telah menjadi kontaktor bebas dan implikasinya defenden pertama tidak mempunyai kawalan terhadap defenden kedua. Defenden pertama juga menghujahkan bahawa oleh kerana kerja tersebut telah disubkontrakkan secara tidak sah oleh defenden kedua kepada defenden ketiga, maka sebarang tuntutan ganti rugi hendaklah dibuat terhadap defenden kedua atau ketiga. Defenden kedua menghujah bahawa plaintif adalah pekerja kepada defenden pertama atau ketiga. Defenden ketiga walaupun mengakui bahawa ia menyediakan pekerja tetapi adalah atas permintaan defenden pertama dan kedua. Mahkamah memutuskan bahawa bukanlah tugas plaintif untuk membuktikan dengan siapa beliau berkhidmat. Adalah memadai jika ada keterangan yang beliau telah digajikan untuk menjalankan kerja tersebut oleh mana-mana defenden dan kemalangan tersebut berlaku semasa dia menjalankan tugas. Telah wujud hubungan “majikan dan pekerja” dan dibawah Common Law, wujud tugas berhati-hati oleh defenden pertama, kedua, dan ketiga terhadap plaintif. Defenden kedua dan ketiga khususnya mempunyai tugas berhati-hati terhadap plaintif yang merupakan pekerja mereka.

Dlam kes Sim Kim San v Fong Ah Yin & YL, defenden pertama telah mendapat tender daripada defenden ketiga untuk melakukan sesuatu kerja termasuklah mengganti dan memasang “bull wheel” pada salah satu jendela kepunyaan defenden ketiga. Defenden pertama telah menggajikan defenden kedua, seorang “foreman” bersama-sama pekerja lain, termasuk plaintif. Plaintif telah mengalami kecederaan apabila tali besi yang menggantung “bull wheal” tersebut putus. Mahkamah memutuskan bahawa defenden kedua dan plaintif adalah pekerja kepada defenden pertama. Tali besi tersebut yang digunakan oleh defenden kedua telah dibekalkan oleh “dredge master” dan tali tersebut tidak cukup kuat untuk menampung barangan yang berat. Defenden kedua bertindak sebagai “foreman” diputuskan tidak bertanggungan kerana beliau bertindak sebagai wakil majikan. Lagipun beliau tidak boleh disifatkan mempumyai kemahiran dan pengetahuan separti seorang jurutera. Defenden ketiga pula tidak bertanggungjawab kerana dia telah melepaskan semua tanggungjawab kepada kontraktor iaitu defenden pertama. Harus diingat bahawa tanggungjawab majikan hanyalah kepada pekerjaan pekerja yang dilakukan dalam bidang kuasanya tanpa apa-apa kecuaian. Sekiranya pekerjaan yang dilakukan pekerja adalah bukan bidang tugasnya, maka majikan adalah tidak boleh dipersalahkan sebagaimana diputuskan Mahkamah di dalam kes Govalan v Kuala Lumpur-Kepong Amalgamated Ltd, di mana pekerja telah menjalankan tugas bukan sebagaimana yang diarahkan kepadanya.

Majikan dan orang yang bekerja sendiri adalah berk ewajipan menyediakan kenyataan bertulis mengenai dasar amnya berkenaan keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerjanya, organisasi dan perkiraan yang sedang berkuatkuasa bagi menjalankan dasar itu dan memberitahu pekerja-pekerjanya tentang dasar tersebut. Kegagalan mematui peruntukan ini jika sabit kesalahan boleh didenda RM 50,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali. Majikan dan orang yang bekerja sendiri juga berkewajipan kepada orang-orang lain selain dari pekerja mereka seperti memastikan setakat yang praktik mereka tidak terdedah kepada risiko bahaya dari tempat kerja, dan memberi maklumat tentang aspek aktiviti di tempat kerja.

Tanggungjawab Pekerja

Akta ini bukan sahaja meletakkan tanggungjawab kepada majikan dan orang yang bekerja sendiri tetapi juga terhadap pekerjanya. Tanggungjawab pekerja antara lain adalah memberi perhatian munasabah terhadap keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain semasa menjalankan aktiviti-aktivitinya, memberi kerjasama samada kepada majikan atau orang lain dalam hal berkaitan dengan pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994, memakai peralatan perlindungan diri yang dibekalkan oleh majikan, dan mematuhi mana-mana arahan keselamatan dan kesihatan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 dan peraturan-peraturannya. Kegagalan mematuhi peruntukan ini boleh mengakibatkan pekerja terbabit didenda RM 1000 atau penjara 3 bulan atau kedua-duanya sekali.

Kesihatan di Tempat Kerja

Definisi penyakit pekerjaan adalah penyakit yang disebabkan atau berpunca daripada aktiviti dan faktor persekitaran di tempat kerja. Jenis-jenis penyakit pekerjaan boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu organ sasaran dan agen penyebab. Jenis-jenis penyakit pekerjaan mengikut organ sasaran adalah penyakit sistem kardiovaskular seperti penyakit paru paru pekerjaan, penyakit kulit pekerjaan, penyakit otot rangka, penyakit sistem pembiakan, penyakit sistem saraf pusat, penyakit berkaitan bangunan, penyakit hati, penyakit ginjal, penyakit psikiatri atau gangguan kesihatan mental, penyakit kanser pekerjaan. Manakala jenis-jenis penyakit pekerjaan mengikut agen penyebab adalah seperti logam, gas, pelarut, racun serangga, hilang pendengaran akibat
kebisingan, gegaran, suhu, radiasi, tekanan, agen berjangkit penyakit pekerjaan berjangkit.

Di antara fungsi seksyen kesihatan di bawah akta ini adalah bertujuan memantau pemberitahuan penyakit dan keracunan pekerjaan yang di laporkan, memantau aktiviti penyiasatan penyakit pekerjaan oleh negeri-negeri, menganalisa data penyakit dan keracunan pekerjaan yang dilaporkan dan menyediakan laporan kejadian penyakit dan keracunan pekerjaan, merancang dan melaksana dan memantau program pengawasan kesihatan warga JKKP, memberi input kepakaran dalam penggubalan dasar kesihatan pekerjaan, memberi khidmat nasihat kepada pejabat negeri, agensi-agensi luar, pengamal kesihatan dan orang-ramai

Jenis-jenis hazad pekerjaan pula boleh dibahagiakan kepada lima iaitu hazad fizikal, hazad kimia, hazad biological, hazad kimia, hazad ergonomic, hazad psikososial. Di antara jenis-jenis hazad fizikal adalah suhu terlampau seperti sejuk atau panas, mekanikal, gegaran, kebisingan, elektrikal, radiasi, tekanan rendah atau tinggi dan pencahayaan. Hazad kimia pula terdiri daripada asid atau alkali, pelarut, bahan disinfeksi, gas anastasia dan ubat sitotoksik. Manakala jenis-jenis hazad biological adalah seperti virus, bakteria, protozoa, kulat, plasmodium dan jenis-jenis hazad ergonomic pula antara lain adalah pergerakan berulang, tiada pergerakan, mengangkat beban, kecederaan otot rangka, unit paparan visual. Akhir sekali hazad psikososial adalah seperti stress pekerjaan, depresi atau kerisauan, ketagihan dadah atau ubat, dan penderaan seksual.

Penguatkuasaan

Penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 di peruntukkan di bawah Bahagian XI. Kuasa-kuasa diberi kepada Pegawai Keselamatan dan Kesihatan untuk mengambil tindakan bagi melaksanakan tujuan akta termasuklah termasuklah kuasa untuk memasuki premis, memeriksa, meneliti, mengeledah, mengambil salinan, menyita dan menyiasat. Setelah kuasa-kuasa itu dilaksanakan, pegawai tersebut boleh mengambil langkah yang terakhir iaitu dengan mengemukakan notis kepada majikan.

Penutup

Dengan penguatkuasaan AKKP, dunia pekerjaan dan perindustrian di Malaysia telah memasuki era baru dengan perhatian yang serius diberikan kepada keselamatan dan kesihatan para pekerja. Kewujudan akta ini yang diperkenalkan kerajaan hingga ke hari ini telah berjaya mencapai objektifnya iaitu menyediakan suasana kerja yang selamat dan sihat bukan sahaja terhadap pekerja tetapi sesiapa sahaja yang berada di tempat kerja.

Rujukan

  1. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
  2. http://www.dosh.gov.my
  3. Kamal Halili Hassan, Undang-undang Keselamatan Industri di Malaysia, 1st ed, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001.
  4. Kamal Halili Hassan, Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan, 1994-Satu Huraian , [1994] 4 CLJ lxxxi (Dec).

Disediakan oleh :-
(HASLINDA BT ISAMAIL)

 

You can leave a response, or trackback from your own site.

2 Responses to “Pengenalan kepada Perundangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja di Malaysia”

  1. vel says:

    i need to know why this act established?

  2. aina says:

    Bagaimana untuk mendapatkan seorang pegawai keselamatan dan kesihatan pekerja yang diakui oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH) bagi sesebuah projek?

Leave a Reply


Powered by WordPress and WordPress Themes, thanks to Live Jasmin

Videos, Slideshows and Podcasts by Cincopa Wordpress Plugin