KISAH 2 BAYI: BUKTI 2 SIFAT MANUSIA

Number of View: 2335

Dunia ini meski kecil di mata semesta, tapi luasnya sudah cukup untuk memuatkan berbillion manusia yang amat rumit sifatnya. Sifat bukan seperti sains atau undang-undang yang ada teori dan praktikal. Sifat amat pening untuk dijelaskan sehingga tiada satu pun perkataan muktamad dalam apa jua bahasa untuk mengertikannya. Tapi pada saya yang benci hal-hal rumit, saya hanya bahagikan manusia kepada dua sifat; baik dan jahat, tiada yang di antaranya, cuma tahap berbeza-beza. Saya tak ambil pusing bila Oscar Wilde kata ‘it is absurd to divide people into good and bad’ kerana saya bercakap dengan autoriti iaitu berpandukan situasi yang berlaku saban hari. Benar, baik dan jahat itu sendiri subjektif bagi sesetengah orang, tapi sekali ini kita pegang saja ertinya yang asal, usah diputarbelitkan. Saya  ingin bingkiskan dua kisah benar bayi yang menyayat hati; satu bukti lunturnya ketamadunan manusia, satu lagi bukti mulianya cinta manusia.

Baby Michael Connor adalah bayi yang hanya sempat melihat bulan dan matahari kurang 6 bulan. Dunianya tiada indah, hanya kesakitan menemani. Pada 2003, dia meninggal dunia akibat didera oleh ibu dan ayah tiriya sendiri yang bukan calang-calang kejamnya. Baby Connor ‘pergi’ akibat koma dengan kecederaan melampau seperti kerosakan otak dan hilang penglihatan. Kita yang sudah besar inipun merungut kesakitan kala digigit semut, bayangkanlah kesakitan yang dialami Baby Connor setiap hari hinggakan hancur otak dan buta matanya? Sekurang-kurangnya kita mampu meluahkan rasa yang dialami seperti menjerit ‘sakit’, ‘tolong’, malah mencarut jika mahu. Tapi apalah yang bayi kecil ini terdaya lakukan, tatkala perkataan ‘mummy’ dan ‘daddy’ pun belum bulat sebutannya. Mana pergi cinta, kasih dan sayang manusia? Inilah yang saya maksudkan dengan tahap jahat manusia yang berbeza dan ibu Connor ini sangat jahat bagi saya. Sakitnya hati, ingin saja saya nafikan status manusianya, kerana binatang pun sayangkan anak.

Adakala saya terfikir bahawa Baby Connor dilahirkan dalam keluarga yang salah. Saya tahu zuriat itu kurniaan Tuhan dan bukanlah mahu mempersoalkan ‘keputusanNya’, tapi hati terlalu sakit memikirkan nasib bayi malang ini. Sampai saya terdetik ‘tidak bolehkah jika kurniaan itu hanya pada manusia yang baik-baik saja?’. Mungkin pada waktu itu saya amat emosional dan terlupa bahawa sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dan kita harus akur akan percaturanNya yang pasti ada hikmah.

Syukur masih ramai manusia menghargai kurnianNya. Di situlah untungnya Baby Elliot Mooney yang ditatang bagai minyak yang penuh, dibelai serta disayang setiap hari bagaikan esok adalah hari terakhirnya di muka bumi, sehinggalah dia pergi selepas bernafas 99 hari. Kisah ini benar-benar menyejukkan hati saya yang menggelegak panas dengan ibu Baby Connor. Oh ya, Baby Elliot tersenarai sebagai antara Kanak-kanak Ajaib Oprah yang saya amat setuju keajaibannya. Masakan tidak, dua bulan sebelum dilahirkan, dia didiagnos menghidap penyakit genetik dan harapan untuk hidup amat rendah. Tapi ibu bapanya tidak pernah putus asa, lantas terus menjaganya semenjak lahir dengan penuh cinta hingga hujung nyawa. Meski pada asalnya mustahil untuk Elliot hidup, dia tetap mampu bertahan sehingga hari ke-99 dalam hidupnya. Ajaib bukan? Mungkin inilah kuasa cinta, cinta ibu bapa kepada anaknya dan ini juga mungkin impak kebaikan manusia. Paling mengharukan, selahirnya dia ibu bapanya mula menulis nota, mengabadikan sebanyak mungkin gambar dan jika boleh setiap saat bersamanya ingin dirakam. Setelah Elliot pergi, video khas untuk Elliot dihasilkan, dimuatnaik dalam laman Youtube dan ditonton jutaan manusia. Video itu terlalu meruntun hati dan menyedarkan saya, wujud lagi manusia yang baik hatinya. Paling manis, 99 belon dilepaskan ke udara pada hari pengebumian Elliot sebagai tanda memperingati 99 hari ‘lamanya’ persinggahan Elliot di dunia.

Dua kisah ini bukanlah mahu mengeji betapa jahatnya manusia atau memuji betapa baik manusia boleh jadi. Tapi inilah autoriti untuk kita renungkan betapa pilihan untuk jadi baik dan jahat itu ada di tangan kita. Malah, ia memberi petunjuk betapa kita perlu bijak memilih sifat dalam meniti kehidupan. Yang paling penting, yang jahat itu boleh berubah ke arah kebaikan kerana menjadi jahat tiada faedahnya. Jadilah manusia yang baik kerana saya pasti di hati setiap manusia ada sekelumit rasa cinta, kasih dan sayang pada manusia lain yang hanya perlu tinggal untuk dicambah, lalu menambah makna kehidupan di dunia ini.

Biarlah kisah Baby Connor menjadi noktah dalam buku ceritera kejahatan manusia. Rasanya sudah cukup berdarah telinga mendengar kisah kejahatan dan kekejaman manusia, seperti dari kes Nurul Huda sehinggalah Nurin Jazlin dan Syafiah Humairah. Siapa sangka seandainya nanti kita tidak lagi perlu pihak berkuasa untuk menjaga tingkah laku manusia atau Kanun Keseksaan dilupuskan saja kerana manusia baik-baik semuanya. Saya akur itu mustahil, tapi mengapa tidak memasang harapan meski tinggi menggunung? Manusia itu boleh berubah sifatnya, dan kita harapkan jika boleh, semua sifat yang jahat berubah ke baik. Thomas Jefferson pernah berkata, ‘I believe that every human mind feels pleasure in doing good to another’.

Manusia ada akal yang membolehkannya membuat perbandingan antara yang baik dengan jahat, antara yang benar dengan batil. Tinggal saja hati manusia perlu dicambah benih cinta, disiram dengan aliran air kasih dan sayang, pasti subur jiwa manusia dengan kebaikan. Lalu penyatuan akal yang rasional dan hati yang penuh cinta akan menjadikan manusia menjadi baik. Mungkin itulah magis bila akal dan hati dan bersatu, lahir kebaikan, bagaikan sakti. Semoga kisah Baby Connor dan Elliot jadi renungan bersama.

Mohd Shahrysham Kamran
Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa

You can skip to the end and leave a response. Pinging is currently not allowed.

One Response to “KISAH 2 BAYI: BUKTI 2 SIFAT MANUSIA”

  1. reader says:

    sangat tersentuh :(

Leave a Reply


Powered by WordPress and WordPress Themes, thanks to Live Jasmin

Videos, Slideshows and Podcasts by Cincopa Wordpress Plugin