Institusi Diraja Negeri Sembilan Darul Khusus

Number of View: 4791

Adat Perpatih amat sinonim dengan Negeri Sembilan Darul Khusus. Institusi monarki Negeri Sembilan ini berbeza dengan negeri-negeri lain khususnya dalam urusan pertabalan dan penggantian pewaris takhta. Bagi negeri yang mengamalkan Adat Temenggong sebagai contoh di Negeri Johor, kebiasaannya apabila berlaku kemangkatan, pengganti Sultan dilantik dari kalangan putera Almarhum yang sulung. Walaubagaimanapun, penggantian Yang di-Pertuan Besar dipilih berdasarkan perakuan Undang Yang Empat. Pertabalan takhta diraja berteraskan adat istiadat Perpatih yang telah dipraktikkan sejak pemasyhuran Yang di-Pertuan Pertama iaitu Raja Melewar. Kelangsungan pemakaian adat dan istiadat Perpatih dijamin dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Adat Perpatih merupakan adat turun temurun yang telah diwarisi oleh orang-orang Melayu di Negeri Sembilan. Ia berasal dari Minangkabau, Sumatera Indonesia. Sekitar abad ke-14, orang-orang Minangkabau telah datang ke Negeri Sembilan. Penghijrahan mereka akhirnya telah menjadikan penempatan orang-orang Melayu Minangkabau serta memperkenalkan sistem adat sebagai sistem sosial masyarakat di Negeri Sembilan dan sistem diraja.

Raja adalah simbol kedaulatan Negara. Jika di negeri-negeri lain perkataan Sultan digunakan bagi merujuk kepada Raja. Gelaran Yang di-Pertuan Besar pula digunakan di Negeri Sembilan bermaksud Yang di-Pertuankan atau YamTuan. Ia ada kaitan dengan bermulanya sejarah wujudnya Institusi Diraja di Negeri Sembilan. Mengimbas kembali sejarah bagaimana pemegang-pemegang adat ketika itu mencari seorang pemerintah yang boleh memimpin masyarakat orang-orang Melayu Minangkabau. Negeri Sembilan ketika itu di bawah pemerintahan Johor. Negeri Sembilan adalah salah satu wilayah yang diganggu oleh Daing kemboja dari Bugis. Disebabkan keadaan huru-hara Undang bermuafakat mengadap Sultan Johor meminta izin bagi mendapatkan seorang raja dari Minangkabau atau Pagar Ruyung. Sultan Johor memberi perkenan kerana tidak berupaya menghadapi ancaman musuh yang bertubi-tubi.

Raja Mahmud atau Raja Melewar putera kepada Sultan Abdul Jalil telah dititahkan oleh ayahandanya untuk ke Negeri Sembilan sebagai Yang di-Pertuan Negeri Sembilan Yang Pertama. Bagaikan suatu tradisi pemegang-pemegang adat menjemput seorang putera dari Pagar Ruyung apabila berlaku kemangkatan Yang di-Pertuan Besar. Ia berlaku pada tiga pemerintahan iaitu pemerintahan Raja Melewar (1773-1795), pemerintahan YamTuan Hitam (1795-1808) dan pemerintahan YamTuan Lenggang (1808-1824). Dengan pertabalan YamTuan Radin bermulalah era warisan takhta dari anak raja tempatan. Oleh yang demikian, pewaris takhta hanya dilantik dari jurai keturunan Raja Radin Ibni Raja Lenggang sebagaimana termaktub dalam Fasal 7(3), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 iaitu:-

“Tiada boleh dipilih sesiapa menjadi Yang di-Pertuan Besar bagi Negeri ini melainkan ianya seorang Melayu laki-laki yang sempurna akal dan memeluk agama Negeri ini dan anak dalam nikah yang berketurunan daripada Raja Radin Ibni Raja Lenggang mengikut pihak lelaki”

Selain kuasa autonomi Undang Yang Empat di luak masing-masing, kuasa tradisional Undang Yang Empat adalah mengenai penentuan Yang di-Pertuan Besar. Tatacara pemilihan pengganti Yang di-Pertuan Besar telah dinyatakan dalam Fasal 7(4) iaitu-

“apabila berlaku kemangkatan Yang di-Pertuan Besar dengan meninggalkan putera-puteranya, maka Undang Yang Empat hendaklah bersegera memilih gantinya di antara putera-putera itu”.

Senario ini dapat diperhatikan semasa kemangkatan Almarhum Tuanku Ja’afar pada 27 Disember 2009. Pemasyhuran pengganti takhta Yang di-Pertuan Negeri Sembilan telah melakar sejarah institusi diraja Negeri Sembilan, setelah hampir 42 tahun adat istiadat perpatih ini dapat diperlihatkan kembali kepada rakyat jelata. Kuasa Undang Yang Empat dilaksanakan dalam mesyuarat secara sulit mengenai penentuan bakal pengganti Yang di-Pertuan Besar. Calon pengganti terdiri daripada putera-putera Almarhum Tuanku Ja’afar iaitu Tuanku Laxamana Tunku Naquiyuddin Tunku Ja’afar, Tuanku Muda Serting Tunku Imran Tuanku Ja’afar dan Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar. Walaubagaimana pun tiada seorang dari kalangan putera-putera ini dipilih sebagai pengganti.

Undang Yang Empat mempunyai kuasa untuk memilih waris lain sekiranya pada pendapat Undang Yang Empat tiada seorang pun putera-putera itu berkelayakan dan berkebolehan maka hendaklah dipilih keturunan kedua dan seterusnya seperti berikut-

yang pertama, kekanda atau adinda lelaki Yang di-Pertuan Besar yang mangkat,

yang kedua, ayahanda saudara sebelah ayahanda Yang di-Pertuan Besar yang mangkat,

yang ketiga, cucunda laki-laki Yang di-Pertuan Besar yang mangkat,

yang keempat, putera kekanda atau adinda laki-laki Yang di-Pertuan Besar yang mangkat,

Berdasarkan kesepakatan, Undang Yang Empat telah memilih anakanda saudara Almarhum iaitu Tunku Mukhriz Tuanku Munawir satu-satunya putera dari enam adik-beradik daripada perkahwinan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-Sembilan iaitu Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Durah.

Sehubungan itu, pada 29 Disember 2009, Tuanku Mukhriz dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang Ke-Sebelas oleh Dato’ Undang Yang Empat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, selepas kemangkatan Tuanku Ja’afar. Sebenarnya ia bukanlah suatu yang luar biasa pernah berlaku. Lebih tepat lagi jika dikatakan sejarah berulang kembali. Kebenaran ini dapat dilihat daripada sejarah pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagaimana berikut-

  1. Raja Melewar (1773-1795)dijemput
  2. YamTuan Hitam (1795-1808)dijemput
  3. YamTuan Lenggang (1808-1824)dijemput
  4. YamTuan Radin (1831-1861) putera
  5. YamTuan Imam (1861-1869) adinda
  6. YamTuan Antah (1872-1887) putera Raja Radin
  7. Tuanku Muhammad (1887-1933) putera
  8. Tuanku Abdul Rahman (1933-1960)putera
  9. Tuanku Munawir (1960-1967) putera
  10. Tuanku Ja’afar (1967-2008) adinda
  11. Tuanku Mukhriz (2008- ) putera Tuanku Munawir

Semasa YamTuan Radin mangkat pada 1861, Almarhum meninggalkan tiga orang putera iaitu Tunku Besar Daud, Tunku Besar Lintau dan Tunku Antah, tetapi Undang yang Empat telah memilih adinda Almarhum YamTuan Imam.

Begitu juga apabila berlaku kemangkatan YamTuan Imam mangkat pada 1869, Almarhum meninggalkan putera iaitu Tunku Ahmad Tunggal, walaubagaimanapun Undang Yang Empat telah memilih Tuanku Antah iaitu anakanda saudara Almarhum.

Peristiwa yang sama berlaku semasa kemangkatan Almarhum Tuanku Munawir ayahanda Tuanku Mukhriz pada 1967. Tuanku Mukhriz merupakan anak waris pertama selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Munawir. Ketika itu, baginda berusia 18 tahun. Atas kerapatan Dato’ Undang Yang Empat, takhta berkenaan dipersetujui dan diperkenan ke atas Almarhum Tuanku Ja’afar. Begitulah pemilihan Yang di-Pertuan Besar dilakukan.

Ternyata pemilihan Yang di-Pertuan Besar berbeza dengan Sultan di negeri-negeri lain. Inilah yang dikatakan uniknya amalan Adat Perpatih ini. Walaubagaimana pun, tidak dapat disangkal Yang di-Pertuan Besar adalah simbol keadilan Negeri Sembilan Darul Khusus.

Maria binti Jilani
Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Negeri
Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri
Negeri Sembilan

You can leave a response, or trackback from your own site.

18 Responses to “Institusi Diraja Negeri Sembilan Darul Khusus”

  1. Maizan says:

    Kini waris Tunku Ahmad Tunggal telah muncul di Ulu Jempol Negeri Sembilan. Sekian terima kasih.

  2. YM says:

    Assalamualaikum. Ralat.
    Tunku Ahmad Tunggal dan Tunku Antah adalah putera kepada Yamtuan Radin. Tunku Ahmad Tunggal adalah putera sulong Yamtuan Radin. Manakala Tunku Antah adalah putera kedua Yamtuan Radin. Gelaran bagi Tunku Antah adalah Tunku Laksamana Antah( Laksamana biasanya adalah gelaran bagi putera kedua).
    Berlaku pergolakan takhta Di-raja pada 1872 antara Tunku Ahmad Tunggal dan Tunku Laksamana Antah. Akhirnya, kata persetujuan telah dicapai, Takhta diberi kepada Tunku Antah , manakala tanah-tanah sekitar Sri Menanti diberi kepada Tunku Ahmad Tunggal dan warisnya.
    Waris Tunku Antah yang memegang takhta Di raja Negeri Sembilan hingga kini. Waris-waris Tunku Ahmad Tunggal masih berada dan menetap di sekitar Sri Menanti, tanah pusaka tinggalan moyang Tunku Ahmad Tunggal.

  3. wan siara says:

    Tunku Ahmad Tunggal dan Tunku Antah anak Yamttuan Radin? dari mana awak dapat cerita ni? untuk pengetahuan awak Tunku Ahmad Tunggal anak YamTuan Imam anak ke2 Raja Lenggang, Tunku Antah anak YamTuan Radin anak sulong Raja Lenggang,mereka sepupu,kalau x tau kisah sesuatu keluarga cari jgn main hentam.. tulis sesuatu yg awak x tau kisah disebaliknya.

  4. Keturunan Mereka masih ada.. says:

    Untok saya yang atas itu semua tidak penting.. yang penting sekarang ia lah apabila saya melihat silsilah keturunan Tuanku Antah dan senarai keluarga2 nya.. saya terdapat nama isteri pertama nya “Tunku Chik” ada di paparkan.. apa hal dengan anak2 nya dengan almahrum Tuanku Antah? ada apa2 rahisia yang hanya kamu tahu dan tidak mahu orang ramai tahu? Banyak sangat terdengar rahsia yang tersembunyi di rembau pada masa dulu…u guys up there better do this research!!.. sekarang zaman kemajuan dan jangan lah rahsia di tutup2… itu pon terdengar juga ada rahsia cerita sebalik ” istana seri menanti” yang ada berkata nama padi lah, nama semak samun lah… itu semua bullshit!! cuba buat research tentang sejarah nama tersbut.. and I know about it [ and i was also introgated to how i know about it] … Oh yah… apa bila melihat silsilah keluarga Tuanku Antah, ada penulis menulis nama isteri pertama nya “Tunku Chik” dan ada juga tidak sekali paparkan nama isteri pertama nya.. kan itu menunjokkan ada prawn at the back of the rock?? Tak salah lagi lah orang bangsa lain berkata melayu banyak nya penipu..

  5. yuneef says:

    Adat Perpatih merupakan adat turun temurun yang telah diwarisi oleh orang-orang Melayu di Negeri Sembilan. Ia berasal dari Minangkabau, Sumatera Indonesia. Sekitar abad ke-14, orang-orang Minangkabau telah datang ke Negeri Sembilan. Penghijrahan mereka akhirnya telah menjadikan penempatan orang-orang Melayu Minangkabau serta memperkenalkan sistem adat sebagai sistem sosial masyarakat di Negeri Sembilan dan sistem diraja.

    >>> Dari 9 negeri di negeri sembilan…Negeri apakah yang menjadi telapak pertaman datang turun nya org minang dari minang kabau dan kemudiannya berjumpa dengan kaum JAKUN ( Asal ) …???

  6. TY says:

    Salam,kalau melihat dari undang-undang tubuh kerajaan n9 fasal7(3)dan fasal7(4)jurai permerintah diraja dari keturunan Raja Radin ibni Raja Lenggang bermakna keturunan daripada Yam Tuan Imam iaitu adinda kepada Raja Radin terus tersisih dari memerintah n9.Kuasa memilih Yam Tuan N9 terletak kepada 4 undang yang akan memilih daripada 4 putra bergelar iaitu Tunku Besar sri menanti,Tunku Laxmana,Tunku Muda serting dan Tunku Panglima Besar.Sekiranya putra bergelar ini dipilih daripada keturunan Yam Tuan Imam bolehkah ia memerintah n9?sebab kuasa memilih Yam Tuan n9 ditangan undang4.mohon penjelesan daripada pengamal undang2

  7. patuan janji says:

    Aslm alykm,
    Saya senang ada yang mengupas hal ini, namun sering pemberitaan dilakukan tidak adil buat sejarah itu sendiri. Saya tidak melihat nama Tunku Besar Lintau disebut di sini. Apakah memang nama Tunku Besar Lintau ’sengaja’ dilupakan oleh sejarah Negeri Sembilan? Kadang saya dapat memahami jika demi alasan sebuah kekuasaan, kadang sejarah harus kita sembunyikan sesuatu dan menonjolkan sesuatu pula.

  8. nor azman mohd yusoff says:

    Saya amat berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keturunan Tengku Besar Lintau. Perlu di ingati bahawa Tengku linatu terlebih dahulu di minta menjadi yamtuan tetapi telah di tolak dengan baik sebab beliau lebih berminat untuk mendalami ilmu agama dan tidak berminat dengan politik. Di mana kan pengakhiran tengku Lintau dan siapakah anak-anak nya. Salah seorang keturunannya iaitu Tengku Maarom telah melepaskan title di rajanya dan telah meminta sebidang tanah di Parit, Kuala Pilah untuk di jadikan kampung.tengku maarom bin Tengku Halim bin Tengku Hamid bin Tengku lintau? Sila bantu beri penjelasan.

  9. Faisal says:

    kepada nor azman mohd yusoff : assalammualiku, sekadar ingin bertanya, saya ada mendengar bahawa dahulu Tengku Hamid pernah pergi ke Istana Kelantan dengan sepupuya Tengku Omar, apakah dia Tengku Hamid yang saudara sebutkan?

  10. am says:

    boleh sya tau siapakah tengku makmur??siapakah dia??

  11. AZRAN says:

    ADAKAH PIHAK TUAN/PUAN DISINI TAHU TTG SALASILAH RAJA MARIAM BT RAJA LINTAU TAMPIN…DAN BOLEHKAH SAYA TAHU SALASILAH KELUARGA MEREKA?…JIKA ADA YG KETAHUI SILA EMEL DI EMEL SAYA crower731@gmail.com

  12. Pakned says:

    Salam…
    Pembetulan maklumat tarikh. Seingat saya tarikh kemangkatan Tuanku Jaafar adalah pada tahun 2008 bukan 2009. Begitu juga tarikh pemahsyuran Tuanku MUHRIZ ( bukan Mukhriz)juga pada tahun 2008, bukan 2009. Terima kasih.

  13. hamba allah says:

    ADAKAH PIHAK TUAN/PUAN DISINI TAHU TENTANG SALASILAH KETURUNAN DIRAJA NEGERI SEMBILAN PADA GENERASI KE 3 DAN KE 4…DAN BOLEHKAH SAYA TAHU SALASILAH MEREKA..??JIAK ADA YANG KETAHUI SILA EMEIL SAYA DI PAEH_1991@YAHOO.COM

  14. Hamba Allah says:

    Diharap penulis berhati2 sebelum membuat sesuatu artikel tentang keturunan & pewaris2 Yamtuan Imam.Ada pihak sengaja meleyapkan nama Yamtuan Imam sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke 5.Siapa yang bertanggungjawab?Jangan sorokkan fakta dan tulis fakta yang tak benar.Waris Yamtuan Imam muncul diatas perlantikkannya sebagai Dato’ Orang Kaya Bijaya Di Raja dan menerima Watikah Daulat Yang Dipertuan Raja Alam Pagaruyung pada 2009.

  15. Wan Mohamad noor says:

    Salam..boleh x admin cerita serba sedikit salasilah dari mana asalnya raja sindut raja sultan? Ini ada kena mengena dengan darah daging saya…cerita dari arwah nenek saya.raja rahmah raja sindut.

  16. hani says:

    Salam..diharap pihak tuan/puan dapat memberi info salasilah keturunan Diraja Negeri Sembilan pada generasi ke-5 dan ke-6..bolehkah saya mengetahuinya..Jika dibenarkan emelkan saya di nmdsis@yahoo.com..terima kasih..

  17. Nour says:

    Salam semua,

    Malang sekali kerana keturunan diraja yang sebenar telah disingkirkan ke tepi.

    Kebanyakan salasilah yang ada sekarang ni pun dah banyak sangat diolah dan ditukar.

    Kebenaran akan terbukti cuma menunggu bilakah masanya….

  18. anak malaysia says:

    sila beri maklumat tentang saudara raja melewar yang dibuang istana

Leave a Reply


Powered by WordPress and WordPress Themes, thanks to Live Jasmin

Videos, Slideshows and Podcasts by Cincopa Wordpress Plugin