ADAB BERKOMUNIKASI

Number of View: 3480

Komunikasi secara lisan amat penting dalam kehidupan seharian. Bolehkah kita hidup sendirian tanpa bercakap? Kita perlukan teman untuk berbual, supaya apa yang ada dalam minda dan hati dapat diluahkan melalui kata-kata. Namun setiap tutur kata itu, harus kena pada tempatnya. Sekiranya kata-kata itu dikeluarkan sesuka hati tanpa memikirkan akibat daripada  pertuturan yang diucapkan pasti buruk padahnya. Bak kata pepatah Melayu, “ Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”.

Tujuan dan matlamat manusia berbicara atau bercakap perlu jelas. Kesannya harus mendatangkan kebaikan kepada semua pihak yang terlibat.  Bagi menjamin wujudnya keharmonian sesama manusia,  Islam telah mengariskan beberapa panduan dalam berkomunikasi secara lisan.

ADAB-ADAB APABILA BERBICARA

Bercakap benar

Sebelum sesuatu perkataan itu dituturkan, kita perlulah berhati-hati dan berfikir sebaik-baiknya kerana Islam mewajibkan supaya bercakap benar. Ini telah dinyatakan dalam surah al-Taubah ayat 119 (9: 119) yang bermaksud :

“ Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan jadilah kalian bersama-sama orang yang benar”

Segala pertuturan yang dikeluarkan harus berpandukan kepada fakta yang benar dan bukan pendustaan yang dilemparkan untuk kepuasan hati dan kepentingan diri sendiri.

Perkataan yang baik

Kata-kata yang baik boleh mendatangkan kebaikan, memberikan rangsangan motivasi, menimbulkan semangat dan mengembirakan orang yang mendengarnya.  Tutur kata yang baik juga mencerminkan akhlak seseorang individu. Baik budi bahasanya maka baiklah budi pekertinya.

Suruhan untuk bercakap dengan baik juga dinyatakan di dalam Firman Allah dalam ayat 83 surah al-Baqarah (2:83) yang bermaksud:

“ Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia”

Kurangkan bercakap

Realitinya, memang sukar untuk dipraktikkan. Mulut ini lebih selesa bercakap daripada senyap. Kalau tidak dapat bercakap, terasa tekanan yang amat sangat. Pantang berjumpa rakan atau ada saja isu baru yang hangat diperkatakan maka panjanglah ulasan yang diberikan. Kerja-kerja yang sepatutnya diamanahkan tidak dapat diselesaikan kerana banyak bercakap. Benarlah peribahasa “ agak lebih daripada agih”. Oleh itu, kita harus mencari jalan untuk mendorong hati kurang berbicara.

Jelas dan terang

Berbicaralah dengan suara yang jelas dan terang supaya hasrat dan maklumat yang disampaikan itu difahami oleh orang yang mendengarnya. Berbicaralah perlahan-perlahan dan tidak tergesa-gesa dengan penuh keyakinan. Berikanlah tumpuan dan focus semasa bercakap dengan memandang wajah orang yang mendengarnya.

Ini hanyalah sebahagian daripada adab-adab yang dianjurkan oleh Islam. Jadikanlah setiap pertuturan itu sebagai ibadah. Moga  dinilai oleh Allah sebagai suatu amalan yang membuahkan pahala kerana kata-kata yang baik juga adalah suatu sedekah.

MARIA JILANI
Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Negeri
Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri
Negeri Sembilan

You can skip to the end and leave a response. Pinging is currently not allowed.

2 Responses to “ADAB BERKOMUNIKASI”

  1. student says:

    saya nak buad ini sebagai rujukan dalam kerja kursus saye. terima kasih!

  2. student says:

    saya akan amik ayat dari artikel ni dan akan tambah ayat saya sendiri dan saya tukar-tukar perkataan dia sikit. terima kasih lagi sekali.

Leave a Reply


Powered by WordPress and WordPress Themes, thanks to Live Jasmin

Videos, Slideshows and Podcasts by Cincopa Wordpress Plugin