JAWATAN DALAM AMANAH DAN IHSAN

Number of View: 6204

Setiap manusia dilahirkan sebagai pemimpin, sekalipun hanya terhadap dirinya sendiri. Sekiranya kegagalan berlaku dalam memimpin diri sendiri, maka yang lahir itu bukanlah seorang manusia. Justeru, menjadi pemimpin tidaklah sesukar mana kerana yang sukar adalah menjadi pemimpin yang baik.

Seorang pemimpin yang baik, sekiranya diberikan jawatan akan menganggapnya satu amanah. Sebaliknya pemimpin yang kurang baik akan menganggapnya satu anugerah. Implikasi yang mungkin timbul ialah bagi pemimpin yang memperalatkan jawatannya untuk melaksanakan amanah, maka akhlaknya semakin halus dan menarik, hartanya tidaklah bertambah melainkan mengikut keperluan, dan ibadahnya dengan Tuhan semakin lebat dan hebat. Namun jika sebaliknya yang berlaku, maka dia adalah pemimpin yang diperalatkan oleh jawatannya yang dianggap satu anugerah.
Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda “Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna lagi teliti” (Riwayat al-Baihaqi)

Pernah disebut ketika mencadangkan Nabi Musa a.s. diterima bekerja dalam keluarga mereka, seorang anak gadis Nabi Syuaib a.s telah mensyaratkan dua ciri utama sebagai asas, iaitu kekuatan dan amanah. Sepertimana juga di dalam Surah Al-Qasas ayat 26, Allah s.w.t. berfirman “Sesungguhnya orang yang paling baik untuk diberikan kerja ialah orang yang kuat lagi amanah.”

Kekuatan jika disesuaikan maksudnya kini ialah bijak, berilmu dan mempunyai kepakaran dalam bidang kerja yang berkenaan, manakala amanah pula ialah berkaitan keikhlasan kejujuran dan ketelusan dalam melaksanakan pekerjaan. Namun apa yang pasti, usaha melahirkan pemimpin yang jujur lebih sukar berbanding melahirkan yang bijak, kerana kebijaksanaan boleh diukur dengan ijazah, kelulusan, kursus dan statistik, manakala amanah memerlukan lebih dari itu.

Jadi, bagaimana untuk melakukan amanah?

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah mengungkapkan “Beribadahlah kamu seakan-akan kamu melihat Allah. Jika kamu tidak sampai kepada upaya itu, maka sekurang-kurangnya rasakanlah yang Allah itu melihat kamu

Inilah nilai Ihsan yang diajar Nabi kepada umatnya sejak bertahun lamanya, betapa besarnya kesan beribadah di dalam pekerjaan, jika diri sampai rasa melihat dan dilihat  Allah.

Seumpama jika di tempat kerja, tugasan yang dilaksanakan sentiasa diperhati dan dipantau oleh majikan disisi, maka pasti setiap perkara dilakukan dengan penuh teliti dan bersungguh-sungguh, tidak sambil lewa, curi tulang atau melepas batuk ditangga.

Maka, jika tidak dapat ditimbulkan perasaan seolah-olah “memerhatikan” majikan ketika bertugas, sekurang-kurangnya amanah terhadap pekerjaan masih mampu dikekalkan sekiranya perasaan “diperhatikan” majikan dapat dirasai.

Dalam suasana kerja hari ini, lazimnya akan ada manusia yang beramanah dan ada juga yang culas (cuai dan malas). Yang amanah akan melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya tanpa banyak berkira.

Namun manusia yang berniat mahu berlaku culas, sentiasa setapak lebih maju dari sistem yang mengawalnya. Sebagaimana pencuri setapak lebih maju dari teknologi kunci dan alarm, begitulah juga pekerja di dalam sesebuah organisasi. Namakan sahaja apa jua sistem untuk memantau dan mengawal, sentiasa ada jalan untuk penyelewengan dan tidak amanah boleh berlaku.

Sistem punch card sendiri hanya mampu memantau waktu pekerja tiba di tempat kerja, dan mustahil dapat memberitahu bila sebenarnya pekerja mula bekerja. Apatah lagi kaedah lain yang diserahkan kepada manusia (yang bernafsu dan berkeinginan) untuk melaksanakannya. Lubang tiris dan bocor sentiasa ada.

Mahu tidak mahu, manusia perlu kembali kepada taqwa dan kesedarannya terhadap hidup berTuhan. Kita adalah makhluk yang diciptakan bersistemkan luar ke dalam. Kita adalah manusia, yang dikawal tindak tanduknya oleh apa yang berlaku di dalam diri. Suasana, undang-undang, ganjaran dan hukuman, semuanya adalah faktor luaran. Manusia bertindak, tetap oleh gerakan hati, jiwa dan kemahuan, soal dalaman.

Soal dalaman adalah soal iman. Soal hubungan manusia dengan Tuhannya. Maka usaha memperkukuhkan aqidah dan kesedaran hidup berTuhan bukan lagi soal peribadi. Ia adalah juga sebahagian daripada keperluan organisasi. Generasi yang tinggi sains dan teknologi, hanya boleh dikawal oleh perkara asas membabitkan iman dan hubungannya dengan Allah. Soal Ihsan.

Jika hati tiada kesedaran bahawa setiap gerak gerinya dalam perhatian, jika manusia ghairah memaksa penilaiannya terhadap sesama manusia tanpa sedar bahawa penilaiannya juga akan dinilai oleh Allah, maka manusia sukar dikawal. Manusia akan bercakap sepuas hati, semahu-mahunya. Hanya dengan mengingati Allah, manusia akur untuk berusaha mengawal dan membetulkan diri, walaupun jauh dari pengetahuan dan perhatian manusia.

Dia boleh mengelabui dan menipu mata manusia, tetapi mustahil dapat menipu Allah, dan dirinya sendiri. Berjawatanlah dalam amanah dan ihsan, demi melahirkan pemimpin yang jujur dan ikhlas pada agama, bangsa dan negara.

“BERSAMA MEMACU TRANSFORMASI AGC”

MOHD KHAIRUL FAIRUZ BIN RAHMAN

TIMBALAN PENDAKWARAYA

PULAU PINANG

You can leave a response, or trackback from your own site.

3 Responses to “JAWATAN DALAM AMANAH DAN IHSAN”

  1. Anonymous says:

    Good job. Useful and helpful info here. Thanks

  2. Nor Perlis says:

    Semuga menjadi amalan kita semua

  3. Anonymous says:

    I think this is one of the most important information for me. And im glad reading your article. Good job, cheers

Leave a Reply


Powered by WordPress and WordPress Themes, thanks to Live Jasmin

Videos, Slideshows and Podcasts by Cincopa Wordpress Plugin